LAWAS: Lawas berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan utama setanding Dubai menerusi cadangan pembangunan pelabuhan menghadap Teluk Brunei, hotel bertingkat tinggi serta pelbagai kemudahan rekreasi berasaskan laut.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kedudukan strategik Lawas yang menghadap Teluk Brunei menawarkan kelebihan untuk membangunkan sektor pelancongan, khususnya aktiviti sukan air berikutan keadaan laut yang relatif tenang.

Menurutnya, potensi tersebut boleh dimanfaatkan untuk menarik lebih ramai pelancong, sekali gus merancakkan kegiatan ekonomi dan membuka peluang perniagaan baharu kepada masyarakat setempat.
“Saya telah mengkaji Lawas dan kita bernasib baik kerana kedudukannya menghadap Teluk Brunei.
Lokasinya boleh dibandingkan dengan Dubai yang turut menghadap laut.
“Kita mahu membangunkan pelabuhan menghadap Teluk Brunei, membina hotel tinggi serta memperkenalkan aktiviti seperti sukan layar dan jet ski kerana ombak di kawasan ini tidak kuat.
“Semua ini boleh menjadi tarikan yang membawa lebih ramai pengunjung ke Lawas,” katanya pada Majlis Perasmian Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut merancang pembangunan padang golf sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk menjadikan Lawas sebuah destinasi pelancongan yang lebih menarik dan berdaya saing.
“Pembangunan kemudahan tersebut akan membolehkan Lawas mengetengahkan keunikan budaya, tarikan tempatan serta makanan tradisional termasuk ikan tahai yang cukup sinonim dengan daerah berkenaan.
“Pertumbuhan sektor pelancongan juga dijangka memberikan manfaat langsung kepada pengusaha tempatan, khususnya dalam bidang penginapan, makanan, perkhidmatan dan kegiatan ekonomi berkaitan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pembinaan Lapangan Terbang Lawas amat penting bagi meningkatkan kemudahan perhubungan udara dan menyokong pembangunan sektor pelancongan di wilayah utara Sarawak.
“Kerajaan Sarawak juga bersedia menggunakan peruntukan sendiri sekiranya perlu bagi memastikan kemudahan tersebut dapat direalisasikan.
“Diharap AirBorneo kelak dapat menghubungkan Lawas dengan lebih banyak destinasi, termasuk kemungkinan penerbangan terus dari Korea Selatan untuk membawa pelancong antarabangsa menikmati keunikan budaya serta tarikan pelancongan di utara Sarawak,” tambahnya.
Menurut beliau, jaringan penerbangan dan pengangkutan yang lebih baik juga akan membolehkan pengunjung meneruskan perjalanan dari Lawas ke Limbang, sekali gus merancakkan kegiatan pelancongan di kedua-dua kawasan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa semua perancangan tersebut merupakan sebahagian daripada wawasan pembangunan jangka panjang Sarawak menjelang 2050 yang memerlukan persediaan awal bagi merebut peluang ekonomi pada masa hadapan.
“Kita mesti mempunyai perancangan jangka panjang. Mungkin ada yang menganggap perancangan kita terlalu bercita-cita tinggi, tetapi kita sedang melihat ke hadapan sehingga 2050.
“Kita perlu bertanya kepada diri sendiri, apakah yang mahu kita capai apabila tiba tahun tersebut,” ujarnya.
Beliau yakin pembangunan pelabuhan, kemudahan pelancongan dan jaringan pengangkutan yang dirancang mampu meningkatkan kegiatan ekonomi serta menyediakan lebih banyak peluang kepada penduduk tempatan.
Beliau menambah, Kerajaan Sarawak akan terus memberikan perhatian kepada usaha merealisasikan pembangunan berkenaan bagi mengangkat Lawas sebagai antara destinasi penting di wilayah utara Sarawak pada masa hadapan.


