ARTIKEL

Cadangan Lawas jadi bahagian perlu justifikasi kukuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LAWAS: Cadangan menaik taraf Lawas sebagai bahagian pentadbiran berasingan akan dikaji terlebih dahulu dengan mengambil kira fungsi pentadbiran Limbang serta kepentingan pembangunan wilayah utara Sarawak secara menyeluruh.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan itu memerlukan penelitian dan justifikasi yang kukuh bagi memastikan sebarang perubahan dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran tanpa menjejaskan kepentingan penduduk Limbang.

Menurutnya, pendekatan bersepadu perlu diberikan keutamaan supaya penyusunan semula pentadbiran dapat dilaksanakan secara seimbang dan memberikan manfaat kepada kedua-dua kawasan.

“Kita akan mempertimbangkan cadangan menjadikan Lawas sebagai sebuah bahagian, tetapi perkara ini perlu dikaji terlebih dahulu, termasuk fungsi Limbang.

“Jika kita membuat perubahan begitu sahaja, penduduk Limbang mungkin berasa tersisih. Bagaimanapun, sekiranya terdapat justifikasi yang kukuh dan pendekatan bersepadu, kita boleh mempertimbangkannya,” katanya pada Majlis Perasmian Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Abu Bakar Marzuki menjalankan kajian dengan mengambil kira input baharu sebelum cadangan berkenaan dipertimbangkan selanjutnya.

“Keputusan tersebut perlu dilihat daripada perspektif pembangunan jangka panjang, khususnya berdasarkan sasaran pembangunan Lawas menjelang 2050.

“Jika keadaannya sesuai, mengapa tidak? Kita perlu melihat perkara ini dari sudut entiti ekonomi dan perkhidmatan yang disediakan kepada masyarakat di utara Sarawak,” jelasnya.

Terdahulu, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, cadangan menaik taraf Lawas sebagai bahagian pentadbiran berasingan bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan kerajaan serta memenuhi keperluan masyarakat di wilayah utara.

“Cadangan itu bukan bertujuan memisahkan Lawas daripada Limbang, sebaliknya memastikan pentadbiran kedua-dua daerah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan berdasarkan kedudukan geografi masing-masing.

“Dalam masa yang sama, bertujuan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan serta memenuhi keperluan pembangunan di wilayah utara Sarawak,” ujarnya.

Tambahnya, cadangan itu mengambil kira kedudukan geografi Lawas dan Limbang yang terpisah oleh Daerah Temburong, Brunei Darussalam, sekali gus memberikan cabaran kepada urusan pentadbiran antara kedua-dua daerah.

“Malah, kedua-dua daerah yang dipisahkan oleh wilayah Brunei menyebabkan perjalanan antara Lawas dengan Limbang memerlukan kos tambahan, selain urusan penggunaan pasport untuk merentasi sempadan antarabangsa.

“Meskipun pelbagai perkhidmatan kerajaan kini boleh diakses secara dalam talian, keadaan geografi tersebut masih menimbulkan cabaran dalam penyelarasan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Sehubungan itu, pembukaan pusat pentadbiran baharu berkenaan merupakan langkah penting bagi menempatkan jabatan serta agensi kerajaan secara bersepadu, sekali gus memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan tanpa perlu berurusan di pelbagai lokasi,” jelasnya.

Cadangan menaik taraf Lawas sebagai bahagian pentadbiran pernah diketengahkan sebelum ini, apabila Kerajaan Sarawak pada 2023 bersetuju menjalankan kajian bagi meneliti keperluan dan kesesuaian penstrukturan pentadbiran Lawas serta Limbang.

BERITA LAIN

Perancis berminat bekerjasama dengan Muzium Budaya Borneo

LAWAS: Muzium Budaya Borneo (BCM) semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Perancis menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan muzium berkenaan dan melibatkan institusi kebudayaan terkemuka negara

BERITA TERBARU

Perancis berminat bekerjasama dengan Muzium Budaya Borneo

LAWAS: Muzium Budaya Borneo (BCM) semakin mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Perancis menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan muzium berkenaan dan melibatkan institusi kebudayaan terkemuka negara