LAWAS: Jambatan Bandar Lawas mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai jambatan dengan struktur kabel hiasan terpanjang yang dipasang pada jambatan jenis balanced cantilever di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datuk Ismawi Ismuni berkata, pengiktirafan itu mencerminkan usaha menjadikan jambatan berkenaan bukan sekadar penghubung, malah mercu tanda ikonik yang melambangkan identiti dan kebanggaan bandar ini.
Katanya, jambatan sepanjang 642 meter di sebelah timur bandar Lawas itu dibina dengan kos RM149.86 juta.
“Jambatan ini juga dilengkapi empat menara gerbang setinggi 44.3 meter setiap satu, dengan kubah hiasan di puncaknya serta kabel gantung yang diterangi lampu LED,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Jambatan Bandar Lawas di sini, malam tadi.
Tambahnya, reka bentuk asal jambatan tersebut merupakan balanced cantilever konvensional sebelum Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mencabar RECODA untuk menjadikannya antara jambatan tercantik di Sarawak.
Menurutnya, Awang Tengah juga terlibat secara aktif dalam memperhalusi dan menambah baik reka bentuk jambatan sehingga mencapai hasil yang dihasratkan.
“RECODA turut membawa masuk arkitek ke dalam pasukan perunding bagi memperincikan reka bentuk jambatan ini, satu pendekatan yang jarang diambil dalam pembinaan jambatan.


“Proses ini melibatkan lebih 10 sesi libat urus antara RECODA, pasukan perunding dan Datuk Amar Awang Tengah bagi meneliti setiap perincian, daripada reka bentuk menara hingga hiasan di puncaknya. Hasil gabungan ilham reka bentuk akhir kemudiannya mendapat persetujuan Premier,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pembinaan jambatan berkenaan bermula pada Mei 2022 dengan tempoh pelaksanaan selama 32 bulan.
“Antara cabaran yang dihadapi ialah pergerakan tanah yang tidak dijangka sekali gus memerlukan reka bentuk asas struktur dikaji semula dan disesuaikan dengan keadaan sebenar di tapak bagi memastikan kestabilan serta keselamatan jambatan. Khidmat nasihat dan kepakaran pakar geologi turut diperoleh bagi memastikan struktur jambatan yang dibina kukuh, stabil dan selamat.
“Alhamdulillah, walaupun berdepan pelbagai cabaran, projek ini berjaya memperoleh Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 15 Oktober 2026, iaitu hampir tiga bulan lebih awal daripada tarikh siap yang dijadualkan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, selain jambatan berkenaan projek RECODA iaitu Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) turut menerima pengiktirafan menerusi MBOR dan Anugerah Kecemerlangan Hijau dan Geopark (GAGA) 2026.
“NCH diiktiraf MBOR sebagai Model Infrastruktur Awam Cetakan 3D Terbesar di Malaysia serta menerima Anugerah Projek Infrastruktur Lestari Berpotensi pada GAGA 2026, 6 Oktober lalu.
“Pengiktirafan ini merupakan detik bermakna buat RECODA dan bukan milik kami semata-mata, sebaliknya turut dikongsi bersama seluruh masyarakat Lawas dan rakyat Sarawak,” tegasnya.



