LAWAS: “Pembukaan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak bernilai RM173 juta di Lawas kini membolehkan masyarakat tempatan mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi tanpa perlu lagi ke Limbang,” kata Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Menurutnya, kompleks setinggi 15 tingkat itu dibangunkan sebagai pusat pentadbiran bersepadu bagi memudahkan urusan rakyat, selain menyediakan persekitaran kerja lebih kondusif kepada penjawat awam.
“Kemudahan tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya melalui kerjasama erat antara jabatan supaya setiap urusan dapat diselesaikan dengan lebih cekap tanpa membebankan orang ramai.
“Manakala, pegawai berkaitan hendaklah menyelaras tindakan supaya rakyat tidak perlu menjadi penghubung antara jabatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Lawas yang disempurnakan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, pembangunan pusat pentadbiran baharu itu bertepatan dengan pertambahan penduduk serta perkembangan kegiatan ekonomi di Lawas yang semakin meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan kerajaan.
“Kedudukan strategik Lawas yang bersempadan dengan Sabah dan Brunei Darussalam turut memberikan kelebihan kepada daerah berkenaan dalam perkembangan perdagangan dan kegiatan ekonomi di wilayah utara Sarawak.
“Kompleks tersebut menempatkan jabatan dan agensi kerajaan yang dikenal pasti melalui penyelarasan bersama Pejabat Residen Bahagian Limbang bagi membolehkan perkhidmatan disediakan secara lebih tersusun di bawah satu bumbung,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mahu pusat pentadbiran berkenaan menjadi contoh penyampaian perkhidmatan awam yang mengutamakan penyelesaian masalah rakyat, bukannya sekadar memenuhi prosedur pentadbiran.
“Pegawai kerajaan perlu turun padang bagi mendapatkan maklum balas secara langsung daripada penduduk supaya kelemahan perkhidmatan dapat dikenal pasti dan diperbaiki.
“Kita perlu mengetahui sama ada perkhidmatan yang disediakan benar-benar berkesan. Penilaian kita tidak boleh hanya bergantung pada laporan jabatan semata-mata,” katanya.
Di samping itu, katanya, kerjasama antara jabatan ialah satu daripada tiga keutamaan yang perlu diberikan perhatian dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam.
“Para pegawai juga perlu memberikan penerangan yang jelas mengenai prosedur dan dokumen yang diperlukan, selain membantu pemohon melengkapkan urusan mereka tanpa perlu berulang kali berkunjung ke pejabat kerajaan.
“Ketiga, pastikan setiap urusan ditangani hingga selesai. Kenal pasti punca kelewatan dan maklumkan perkembangan kepada pemohon,” tegasnya.
Kompleks yang dibangunkan di atas tanah kerajaan seluas kira-kira 3.6 ekar itu turut mempunyai perancangan akses jalan dari arah utara dan selatan, selain cadangan jalan masuk utama selebar 35 meter di sebelah timur hotel berhampiran.
Pembukaan kompleks itu juga menyambung sejarah perkembangan pentadbiran Lawas yang bermula di sebuah bangunan kayu di atas bukit berhampiran tebing sungai sebelum bangunan tersebut dirobohkan dan digantikan pada 1995.
Bangunan berkenaan kini menempatkan Mahkamah Majistret Lawas, manakala Pejabat Daerah Lawas berpindah ke bangunan baharu di kawasan berhampiran pada 2015.
Antara tokoh yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Lawas ialah bekas Setiausaha Kerajaan Sarawak, Allahyarham Tan Sri Bujang Mohd Nor dan bekas Setiausaha Kewangan Sarawak, me


