MIRI: Rakaman video berdurasi 57 saat yang memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki di Taman Jelita di sini membawa kepada penahanan empat suspek berusia antara 20 hingga 23 tahun, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian itu dikesan selepas pihaknya menerima rakaman video daripada orang awam kira-kira 12.55 tengah hari pada 16 November.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut berpunca daripada perselisihan faham antara dua suspek ketika mereka minum minuman keras bersama-sama beberapa rakan di kawasan Taman Tunku.

“Pertengkaran itu berlarutan apabila kedua-dua suspek pergi ke Taman Jelita sebelum terlibat dalam pergaduhan secara fizikal.
“Dua lagi suspek turut berada di lokasi kejadian, dengan seorang bertindak sebagai pengadil, manakala seorang lagi hanya memerhatikan pergaduhan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Farhan berkata, susulan penularan rakaman video berkenaan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri membuat laporan polis pada 6.38 petang hari sama.
Beliau berkata, hasil usaha mengesan individu terbabit, polis berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 23 tahun di sekitar bandar Miri kira-kira jam 6.30 petang pada 16 November bagi membantu siasatan.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Mohd Farhan mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Jugol Anak Berindan di talian 011-10528708 atau Bilik Gerakan IPD Miri menerusi talian 085-432533.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.



