LAWAS: Jambatan Bandar Lawas bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan dan peluasan bandar itu, sekali gus membuka ruang kepada perancangan pembangunan baharu di kawasan tebingan Sungai Lawas.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembinaan jambatan itu menyediakan asas lebih kukuh bagi perancangan pembangunan serta mendorong kajian semula pelan induk dan pelan tempatan sedia ada bagi mengambil kira kemudahan perhubungan baharu berkenaan.

Katanya, perancangan terdahulu tidak mengambil kira pembinaan jambatan itu, justeru penilaian semula perlu dilaksanakan bagi menentukan hala tuju peluasan bandar Lawas susulan peningkatan akses perhubungan.
“Dengan adanya jambatan ini, kedua-dua tebing Sungai Lawas dapat dihubungkan, termasuk kawasan yang dikenali sebagai Kampung Seberang Kedai serta kampung berhampiran seperti Ladang, Karangan dan Lukutan.
“Pembinaan jambatan juga akan memudahkan kita merancang peluasan dan pembangunan bandar Lawas,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Bandar Lawas, di sini, malam tadi.
Tambahnya, jambatan berkenaan juga merupakan sebahagian daripada projek pembangunan yang dilaksanakan menerusi peruntukan RM1.5 juta daripada Kerajaan Sarawak kepada Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).
Selain meningkatkan hubungan perhubungan, menurutnya, Kerajaan Sarawak berhasrat membangunkan kawasan tebingan sungai Lawas sebagai destinasi komersial dan pelancongan yang lebih menarik.
Jelasnya, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini turut menekankan keperluan menambah baik kawasan tebingan sungai sedia ada yang ketika ini hanya meliputi sehingga pasar kedua, manakala kawasan di bawah dan persekitarannya memerlukan penambahbaikan menyeluruh.
“Kita berhasrat membangunkan dan menambah baik kawasan tebingan sungai itu. Insya-Allah, sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) mendapat mandat pada pilihan raya akan datang dan Abang Johari terus menjadi Premier, ini antara projek yang ingin kita laksanakan.
“Kita juga mahu memastikan kawasan di seberang sungai dirancang dan dibangunkan dengan sebaiknya, dengan mengambil kira kepentingan sungai itu sendiri,” tegasnya.
Beliau menyatakan, lawatan ke Budapest dan Vienna sebelum ini memberi gambaran bagaimana pembangunan kawasan tebingan sungai mampu mengubah kawasan berkenaan menjadi pusat kegiatan komersial dan pelancongan yang meriah, sekali gus menghimpunkan peniaga, pengusaha perniagaan serta pengunjung.
Sementara itu, beliau menyatakan pembangunan Lawas turut merangkumi perancangan pembinaan lapangan terbang baharu dengan landasan 2,500 meter, pelabuhan dan kawasan perindustrian bagi menarik pelaburan serta merancakkan aktiviti ekonomi.
Selain itu, katanya, perhubungan menerusi Jambatan Bandar Lawas juga akan memperkukuh kedudukan strategik Lawas yang bersempadan dengan Brunei Darussalam dalam usaha memperluas perdagangan rentas sempadan, pelancongan dan kerjasama ekonomi serantau demi manfaat bersama.



