PADAWAN: Masyarakat Bidayuh dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan kempen politik Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), sebaliknya menilai kemampuan sesebuah parti dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan membawa pembangunan kepada kawasan mereka.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, masyarakat Bidayuh perlu mempertimbangkan implikasi politik sekiranya kerusi yang dimenangi wakil mereka tidak mampu membentuk kerajaan atau menjadi sebahagian daripada pentadbiran negeri.
Beliau berkata, kawasan majoriti Bidayuh mempunyai lapan kerusi dan kekalahan kesemua kerusi berkenaan boleh menjejaskan kemampuan masyarakat itu mendapatkan pembelaan menerusi wakil rakyat mereka.
“Nasihat saya kepada masyarakat Bidayuh, jangan terbawa-bawa dengan kempen yang dilakukan pihak tertentu.
Kita hanya mempunyai lapan kerusi. Kalau kita kalah semua, siapa akan membela kita nanti? PBDS tidak dapat membela,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Dewan Kampung Gayu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Sagah yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat mempersoalkan kemampuan PBDS untuk membentuk kerajaan sekiranya parti itu hanya berhasrat bertanding di 30 kawasan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 ini.
Katanya, sesebuah parti perlu memperoleh sekurang-kurangnya 43 kerusi untuk membentuk kerajaan, sekali gus menimbulkan persoalan hala tuju PBDS sekiranya gagal mencapai jumlah berkenaan.
“Kalau hendak menjadi kerajaan, seharusnya ada sekurang-kurangnya 43 kerusi.
Jadi, bagaimana 30 kerusi mahu membentuk kerajaan? Bergabung dengan siapa pun saya tidak tahu, mungkin dengan GPS lagi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan pendirian PBDS yang dilaporkan tidak bertanding untuk membentuk kerajaan atau membawa pembangunan kepada rakyat.
Menurutnya, matlamat sesebuah parti politik yang mahu mewakili rakyat seharusnya merangkumi usaha membawa pembangunan dan memastikan kepentingan kawasan yang diwakilinya terus terbela.
“Ini tidak masuk akal. Kalau mahu mewakili rakyat tetapi tidak mahu membawa pembangunan, apa tujuannya? Rakyat perlu menilai perkara ini dengan teliti.
Kalau tidak membawa pembangunan kepada rakyat, buat apa hendak menyokong mereka? Kita yang rugi,” katanya.

