PADAWAN: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) digesa mengambil tindakan saman terhadap individu yang mendakwa lesen kuari telah dikeluarkan bagi aktiviti pengkuarian di kawasan Gunung Teng Bukap.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pihak JTS memaklumkan bahawa tiada rekod pengeluaran lesen kuari di kawasan berkenaan ketika ini.
Beliau berkata, dakwaan yang disebarkan menerusi platform TikTok dan Facebook itu boleh menjejaskan nama baik JTS sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen kuari.
“Saya difahamkan oleh pihak JTS bahawa tidak ada lesen bukit ataupun gunung Teng Bukap. Kalau tidak percaya, pergi semak rekod JTS.
“Mungkin pada masa dahulu saya tidak tahu, tetapi buat masa ini dalam rekod mereka tidak ada kuari Teng Bukap,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Dewan Kampung Gayu, di sini hari ini.
Sagah berharap JTS dapat mengesan individu yang bertanggungjawab menyebarkan dakwaan berkenaan dan mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama jabatan itu.
Mengulas dakwaan bahawa Klinik Kesihatan Teng Bukap terpaksa menghentikan operasi akibat aktiviti kuari, Sagah menjelaskan pemindahan operasi klinik itu sebenarnya berkaitan faktor keselamatan susulan kejadian batu jatuh dari kawasan gunung berhampiran kuarters jururawat.
Katanya, pihak doktor dan jururawat sebelum ini menyuarakan kebimbangan akan keselamatan mereka, sebelum Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta menjalankan siasatan dan mendapati lokasi klinik berkenaan tidak selamat.
Sehubungan itu, beliau berkata, usaha mencari tapak baharu untuk pembinaan klinik telah dilakukan, manakala Dewan Teng Bukap yang dibina sebelum ini digunakan sementara bagi menempatkan operasi klinik berkenaan.
Sagah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mencari tapak baharu bagi pembinaan klinik berkenaan.



