MIRI: Daripada sebuah bandar minyak kepada bandar peranginan, Miri kini melangkah ke fasa pembangunan baharu menerusi ‘Kenyalang Smart City’ yang menggabungkan pelancongan, alam semula jadi, perniagaan dan hiburan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pembangunan itu mencerminkan visi untuk menjadikan Miri sebagai destinasi masa depan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung serta merancakkan aktiviti ekonomi.
Katanya, Kenyalang Smart City perlu dibangunkan menerusi perancangan bersepadu yang mengutamakan alam semula jadi, selain menyediakan kemudahan dan tarikan yang mampu membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan serta perniagaan.
“Kenyalang City perlu menjadi Kenyalang masa depan. Itulah yang akan menarik orang ramai untuk datang ke sini.
“Ia merupakan pembangunan bercampur dengan penekanan kepada alam semula jadi. Jika kita dapat melaksanakannya, saya percaya ramai orang akan datang ke Miri. Apabila orang datang, ia bermakna lebih banyak peluang perniagaan. Makanan akan tersedia, hotel juga akan ada, selain pengunjung dapat menikmati hiburan menerusi budaya kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Konvensyen dan Pameran Kenyalang One (KCEC One) serta pelancaran Taman Tema Air Borneo Adventure di Kenyalang Smart City, hari ini.
Justeru, Abang Johari mengucapkan tahniah kepada Pengasas dan Pengerusi Imasa Dinasti Sdn Bhd Ar. Teo Ah Khing dan pasukannya atas kejayaan membangunkan KCEC One, yang disifatkan sebagai tambahan penting kepada infrastruktur pelancongan Miri, khususnya dalam menarik penganjuran persidangan, pameran dan acara perniagaan.
Mengulas perkembangan Miri, beliau berkata, bandar itu telah melalui transformasi besar daripada sebuah bandar minyak kepada bandar peranginan hasil visi dan perancangan pemimpin terdahulu, termasuk Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.
Beliau berkata, Sarawak juga sedang berusaha meningkatkan penyertaan dalam industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) dengan memanfaatkan keindahan alam semula jadi serta ekosistem unik negeri ini sebagai nilai tambah kepada penganjuran acara perniagaan.
Jelasnya, pengunjung yang datang untuk menghadiri forum dan perbincangan turut memerlukan tarikan alam semula jadi sebagai pelengkap kepada pengalaman mereka di Miri.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyifatkan Kenyalang Smart City sebagai contoh kerjasama antara sektor awam dengan swasta, khususnya menerusi sumbangan usahawan tempatan yang kembali ke Miri untuk melabur dan menyumbang kepada pembangunan bandar itu.



