ARTIKEL

Masyarakat Dayak tidak terpengaruh Buku Biru PBDS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PADAWAN: Masyarakat Dayak diingatkan agar tidak terpengaruh dengan Buku Biru Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) berkaitan pengurusan dan pengiktirafan Hak Tanah Adat Bumiputera (NCR).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, segala urusan berkaitan tanah di Sarawak ditadbir di bawah Kanun Tanah Sarawak dan sebarang cadangan pengurusan tanah NCR perlu mengambil kira peruntukan undang-undang berkenaan.

Beliau menyifatkan penerbitan buku berkenaan sebagai sesuatu yang mengelirukan masyarakat Dayak kerana didakwa menggambarkan pendekatan parti itu lebih baik berbanding kaedah yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak.

Uggah berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Kampung Gayu. | Foto: Ghazali Bujang

“Semua undang-undang berkaitan tanah di Sarawak terkandung dalam Kanun Tanah Sarawak.

Jadi, jangan mudah terpengaruh dengan maklumat yang disebarkan tanpa memahami peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Kampung Gayu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Uggah berkata, pindaan Kanun Tanah Sarawak pada 2018 yang memperkenalkan Seksyen 6A merupakan langkah penting dalam memastikan hak masyarakat peribumi ke atas tanah komunal, termasuk Pemakai Menua dan Pulau Galau, mendapat pengiktirafan perundangan.

Katanya, pindaan itu dilaksanakan selepas Kerajaan Sarawak mengambil kira kepentingan tanah adat sebagai warisan masyarakat Dayak serta implikasi keputusan Mahkamah Tinggi pada 2016 berkaitan kes Tuai Rumah Sandah.

Menurutnya, proses pindaan berkenaan melibatkan perbincangan bersama kira-kira 40 peguam Dayak selama lima jam sebelum satu cadangan dikemukakan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk pertimbangan.

Cadangan itu kemudiannya diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2018 menerusi pindaan Kanun Tanah Sarawak yang memperkenalkan Seksyen 6A.

“Melalui Seksyen 6A, Pemakai Menua dan Pulau Galau boleh digunakan untuk bercucuk tanam, memburu serta menjalankan aktiviti tradisional, selain boleh dimiliki oleh komuniti berkenaan.

“Ini bukan sekadar retorik kerana sudah ada contoh di Miri apabila lebih 300 hektar tanah diberikan hak milik di bawah Seksyen 6A kepada komuniti berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Uggah turut mempersoalkan dakwaan pihak tertentu yang berjanji mampu menyukat keseluruhan tanah di Sarawak dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata, keluasan Sarawak yang mencapai kira-kira 122,000 kilometer persegi serta anggaran keluasan tanah NCR tidak kurang 2.5 juta hektar menjadikan proses pengukuran memerlukan perancangan dan pelaksanaan secara berperingkat.

Katanya, setakat ini sebanyak 1.248 juta hektar tanah NCR di seluruh Sarawak disukat di bawah Seksyen 6, dengan kira-kira 979,000 hektar daripadanya sudah diwartakan.

Beliau menjelaskan, Seksyen 6 membolehkan kawasan tanah dikenal pasti dan diukur sebelum diwartakan sebagai kawasan tanah komunal, manakala Seksyen 18 melibatkan pengukuran lot individu bagi tujuan pengeluaran dokumen hak milik.

Mengulas perkembangan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat, Uggah berkata, sebanyak 18,000 hektar tanah dikenal pasti di bawah Seksyen 6, dengan 13,000 hektar sudah disukat dan 9,500 hektar diwartakan, melibatkan 23 kawasan kampung.

Sementara itu, pengukuran di bawah Seksyen 18 di kawasan berkenaan melibatkan 1,118 hektar tanah merangkumi 1,694 lot, namun dokumen hak milik bagi lot terbabit masih belum dikeluarkan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan meneruskan usaha mempercepat pengukuran tanah NCR bagi memastikan hak masyarakat pribumi terhadap tanah adat terus dipelihara mengikut peruntukan undang-undang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Masyarakat Bidayuh dinasihat tidak terpengaruh kempen PBDS

PADAWAN: Masyarakat Bidayuh dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan kempen politik Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), sebaliknya menilai kemampuan sesebuah parti dalam memperjuangkan kepentingan rakyat