ARTIKEL

Hidrogen pacu revolusi pengangkutan hijau Malaysia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Teknologi hidrogen berpotensi menjadi alternatif kepada penggunaan diesel bagi kenderaan komersial berat, bas ekspres dan pengangkutan logistik jarak jauh seterusnya menyokong usaha kerajaan menyahkarbonkan sektor pengangkutan negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata penggunaan teknologi itu berpotensi menawarkan daya saing dari segi kos operasi berbanding diesel terutama apabila mengambil kira harga bahan api berkenaan tanpa subsidi.

Beliau berkata hidrogen mempunyai ketumpatan tenaga gravimetrik tinggi yang membolehkan kandungan tenaga lebih tinggi bagi setiap kilogram bahan api sekali gus memberikan kelebihan kepada pengangkutan berat yang memerlukan jarak operasi panjang dan kapasiti muatan optimum.

“Teknologi hidrogen berpotensi melengkapi peranan kenderaan elektrik (EV) dalam usaha menyahkarbonkan sektor pengangkutan negara khususnya bagi segmen pengangkutan berat dan perjalanan jarak jauh yang memerlukan jarak operasi lebih panjang serta masa pengisian semula yang lebih singkat.

“Bagaimanapun, kajian kebolehlaksanaan perlu dilaksanakan merangkumi bekalan hidrogen kelabu domestik penilaian keamatan karbon dan impak alam sekitar,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Chang menjawab soalan tambahan Datuk Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) mengenai strategi dan perancangan kerajaan untuk menggalakkan penggunaan hidrogen sebagai sumber bahan api alternatif yang lebih mampan dan berdaya saing susulan kos pengeluaran hidrogen hijau yang masih tinggi berbanding hidrogen kelabu.

Menjawab soalan asal Sng mengenai peranan teknologi hidrogen dalam melengkapkan penggunaan EV, beliau berkata NanoMalaysia Berhad (NMB) menerusi program Enabling Mobility Electrification for Green Economy (EMERGE) yang dibiayai melalui Dana Penyelidikan Strategik sedang meneroka integrasi sistem hidrogen dengan platform elektrifikasi kenderaan.

Katanya inisiatif itu merangkumi pembangunan tiga bas EV dan dua bas elektrik sel bahan api hidrogen (FCEV) termasuk penggunaan teknologi sel bahan api bagi menyokong operasi kenderaan serta meningkatkan fleksibiliti penggunaan tenaga.

“Teknologi hidrogen tidak bertujuan menggantikan kenderaan elektrik berasaskan bateri (BEV), sebaliknya kedua-duanya saling melengkapi menerusi pendekatan dwiteknologi, dengan BEV lebih sesuai bagi kenderaan penumpang dan perjalanan jarak dekat manakala FCEV untuk pengangkutan berat serta perjalanan jarak jauh.

“Selain itu, memandangkan kos hidrogen hijau masih tinggi, penggunaan hidrogen kelabu berketulenan tinggi daripada proses konvensional boleh dipertimbangkan sebagai langkah peralihan khususnya bagi aplikasi Proton Exchange Membrane Fuel Cell (PEMFC) yang menghasilkan air sebagai hasil sampingan tanpa pelepasan asap pada peringkat pengguna,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai rasional penggunaan kereta penumpang dalam projek rintis hidrogen sedangkan teknologi itu lebih sesuai untuk kenderaan berat, Chang berkata projek berkenaan bertujuan membuktikan teknologi hidrogen sudah tersedia dan boleh dilaksanakan.

Beliau berkata penggunaan Toyota Mirai bersama stesen pengisian semula hidrogen mudah alih (MHRS) di Putrajaya adalah sebahagian daripada peringkat demonstrasi teknologi di bawah Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) sehingga 2030.

“Apa yang kita perlu lakukan kita kena ada kemahiran ekonomi di mana akan mengurangkan kos operasi dan sekiranya kos direndahkan, ia akan jadi lebih relevan untuk penggunaan kereta ataupun kenderaan hidrogen pada sekarang,” katanya.-Bernama

BERITA LAIN

Shariman raih Anugerah Top CEO

KUCHING: Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Sdn Bhd, Dato Shariman Jamil, menerima Anugerah Top CEO Icon Leaders pada International CEO and Business Leaders Forum 2026,

BERITA TERBARU

Penerbangan terus KL-Bandung disasar dibuka semula

BANDUNG: Jawa Barat berhasrat menyambung semula penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Bandung susulan perancangan membuka semula Lapangan Terbang Husein Sastranegara bagi penerbangan antarabangsa, sekali

MARAPATI angkat legenda Santubong

Legenda Santubong bakal kembali menggegarkan pentas seni Sarawak menerusi pementasan teater muzikal epik MARAPATI yang tampil dengan pendekatan kreatif menggabungkan lakonan pentas, elemen sinematik dan