KUCHING: Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Sdn Bhd, Dato Shariman Jamil, menerima Anugerah Top CEO Icon Leaders pada International CEO and Business Leaders Forum 2026, di sini, semalam.
Pengiktirafan itu diberikan ketika syarikat berkenaan mempergiat usaha membangunkan teknologi semikonduktor tempatan, termasuk menghasilkan reka bentuk cip dan harta intelek sendiri yang berpotensi dikomersialkan di pasaran global.
Shariman berkata, anugerah itu bukan pencapaian peribadi semata-mata, sebaliknya mencerminkan komitmen pasukan SMD Semiconductor serta hala tuju Kerajaan Sarawak dalam membangunkan industri semikonduktor negeri.
Beliau berkata, sejak penubuhannya pada 2022, SMD Semiconductor berhasrat membuktikan keupayaan Sarawak untuk mengambil bahagian secara bermakna dalam rantaian nilai semikonduktor global.
“Pembangunan keteq.GaN merupakan satu pencapaian penting, namun pembangunan teknologi hanyalah permulaan.
“Ukuran kejayaan sebenar ialah keupayaan menterjemahkan inovasi kepada produk, peluang komersial dan nilai ekonomi mampan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Penaung Pengasas World Business Chamber, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi, pada majlis pembukaan forum yang dianjurkan World Business Chamber (WBC), ASEAN Economic Club (AEC) dan KSI Strategic Institute for Asia Pacific di Berjaya Times Square Hotel. Keteq.GaN, cip semikonduktor kuasa Gallium Nitride (GaN) pertama yang direka bentuk secara tempatan di Sarawak, diperkenalkan pada Persidangan Ekonomi Dogital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026, Oktober lalu.
Cip berkenaan dibangunkan untuk aplikasi elektronik kuasa generasi baharu yang memerlukan penukaran dan pengurusan tenaga lebih cekap, termasuk infrastruktur kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), grid pintar, transformer keadaan pepejal serta aplikasi angkasa.
Anugerah Top CEO Icon Leaders mengiktiraf kepimpinan, visi strategik dan sumbangan terhadap pertumbuhan organisasi, kecemerlangan perniagaan serta pembangunan mampan.



