KUCHING: Pertumbuhan ketibaan pelawat dari Asia Utara sebanyak 40.3 peratus dan peningkatan 8.3 peratus dari Taiwan ke Sarawak menjadi petunjuk positif terhadap daya tarikan wilayah ini yang semakin mendapat perhatian pelancong antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Dr Sharzede Salleh Askor berkata, pasaran Asia Utara terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila merekodkan peningkatan ketibaan pelawat sebanyak 40.3 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2026.
Menurutnya, Sarawak menerima seramai 108,816 pelawat dari Asia Utara dalam tempoh berkenaan berbanding 77,573 orang bagi tempoh sama pada 2025.
“Taiwan pula menyumbang sebanyak 10,730 ketibaan pelawat, meningkat 8.3 peratus berbanding 9,908 orang dalam tempoh yang sama tahun lalu.
“Angka berkenaan mencerminkan minat yang semakin menggalakkan terhadap Sarawak, selain mengukuhkan kepentingan untuk mengekalkan kehadiran secara konsisten di pasaran tersebut,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Sehubungan itu, katanya, STB terus memperkukuh kehadirannya di pasaran Taiwan menerusi penyertaan kali ketiga berturut-turut dalam Pameran Pelancongan Antarabangsa Taiwan (ITF) 2026 yang berlangsung di Nangang Exhibition Hall, Taipei dari 6 hingga 9 November lalu.
“Penyertaan berterusan STB dalam ITF mencerminkan komitmen kami untuk mendekati pelancong Taiwan serta memperkukuh hubungan dengan rakan industri pelancongan.
“Selain mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan, kami juga mahu memberi inspirasi kepada lebih ramai pelancong untuk merasai sendiri keistimewaan Bumi Kenyalang, merangkumi warisan budaya yang kaya, keindahan alam semula jadi, pengalaman pengembaraan, sajian kulinari serta pelbagai festival,” ujarnya.
Menurut kenyataan sama, menerusi ITF 2026, STB mengetengahkan kepelbagaian produk pelancongan Sarawak melalui ruang pameran khas yang memberi peluang kepada pengunjung dan wakil industri untuk mengenali dengan lebih dekat tarikan, pengalaman serta pakej pelancongan yang ditawarkan.
Penyertaan itu turut disertai lima rakan kerjasama, iaitu ComeBest Tour Co., Ltd.; China Dragon Travel Service Co., Ltd.; Happy Go Travel Co., Ltd.; Unitravel Services Co., Ltd.; dan Royal Brunei Airlines Taiwan.



