ARTIKEL

Akim, Stacy sedia cipta memori baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Penyanyi popular Akim Ahmad meluahkan rasa teruja dan bersyukur apabila diberikan peluang menyertai Gegar Vaganza Fantasia (GVF) 2026, sekali gus mencipta kenangan baharu bersama-sama barisan penyanyi yang pernah mencipta nama menerusi Akademi Fantasia (AF).

Penyertaan Akim dalam pertandingan itu turut mencuri perhatian apabila beliau membuat kejutan dengan membawa sejambak bunga ketika isterinya, Stacy, sedang membuat persembahan di pentas berkenaan.

Tindakan romantik itu mengundang sorakan penonton, malah kehadirannya turut memeriahkan suasana apabila ramai yang menyifatkan Akim sebagai seorang suami romantik.

Menerusi video temu bual bersama-sama media tempatan baru-baru ini, Stacy mengakui kehadiran suaminya di pentas tidak dirancang dan menjadi kejutan buat dirinya.

Detik spontan itu sekali gus memperlihatkan sokongan Akim terhadap kerjaya seni isterinya, terutama ketika Stacy sedang bersaing dalam program realiti nyanyian berkenaan.

Akim turut meluahkan rasa gembira menerusi perkongsian di media sosial kerana berpeluang menyertai barisan alumni Akademi Fantasia dalam Gegar Vaganza Fantasia.

“Bismillahirrahmanirrahim. Rasa bertuah, juga gembira dapat bersama juara-juara yang juga alumni Akademi Fantasia.

“Terima kasih semua yang mengundi masuk saya di Gegar Vaganza Fantasia. Mudah-mudahan dapat saya laksanakan persembahan yang baik untuk anda semua,” katanya menerusi perkongsian di media sosial baru-baru ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Astro kerana memberikan peluang kepadanya untuk mencipta kenangan baharu di pentas pertandingan itu.

Penyertaan Akim juga membuka peluang kepada peminat untuk menyaksikan pasangan suami isteri berkenaan berkongsi pentas dalam pertandingan yang menghimpunkan penyanyi berpengalaman daripada program realiti popular tanah air.

Menariknya, Stacy menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menduduki tempat pertama dalam kedua-dua konsert minggu pertama dan kedua.

Pada konsert minggu kedua yang berlangsung pada 15 November lalu, beliau terus mengungguli kedudukan pertandingan menerusi persembahan yang mendapat perhatian juri dan penonton.

Untuk rekod, Akim atau nama sebenarnya Aiman Hakim Ridza Ahmad merupakan peserta Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pada 2009 dan berjaya meraih tempat ketiga.

Beliau kemudian meneruskan kerjaya dalam bidang muzik sebagai penyanyi solo serta bersama-sama kumpulan Akim & The Majistret yang popular menerusi lagu seperti Mewangi dan Potret.

Sementara itu, Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam merupakan juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6) pada 2008.

Penyanyi kelahiran Sabah itu dikenali menerusi beberapa lagu popular, termasuk Aku Stacy, Gagap dan Kisah Dongeng.

Akim dan Stacy mendirikan rumah tangga pada 2016 dan dikurniakan cahaya mata. Kedua-duanya terus aktif dalam industri muzik tempatan, selain saling memberikan sokongan terhadap kerjaya seni masing-masing.

Gegar Vaganza Fantasia merupakan edisi istimewa sempena sambutan ulang tahun ke-30 Astro yang menghimpunkan bekas peserta dan juara Akademi Fantasia bagi mengimbau nostalgia serta meraikan legasi program realiti nyanyian berkenaan.

Program yang berlangsung selama 11 minggu itu disiarkan secara langsung setiap Ahad pada jam 9.00 malam menerusi Astro Ria (saluran 104), selain boleh ditonton secara penstriman melalui Astro GO dan Sooka.

Kehadiran Akim dijangka memeriahkan lagi persaingan GVF 2026, apatah lagi apabila peminat berpeluang menyaksikan dua penyanyi yang mempunyai perjalanan seni tersendiri itu berkongsi pentas dalam program yang sama.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Bangladesh mula jana nuklear

DHAKA: Bangladesh mula menyalurkan 350 megawatt (MW) elektrik daripada loji tenaga nuklear pertamanya ke grid nasional secara percubaan buat kali pertama, lapor agensi berita Jerman

Pelancong Asia Utara ke Sarawak meningkat

KUCHING: Pertumbuhan ketibaan pelawat dari Asia Utara sebanyak 40.3 peratus dan peningkatan 8.3 peratus dari Taiwan ke Sarawak menjadi petunjuk positif terhadap daya tarikan wilayah