Kesatuan Kakitangan Sokongan Jabatan Pelajaran Sarawak (KEKASA) disaran supaya terus memperluas keahlian dengan menarik lebih ramai penjawat awam menyertai organisasi itu bagi memperkukuh peranannya dalam memperjuangkan kepentingan dan kebajikan anggota.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Sarawak (JHEKS), Tujoh Bachat berkata, usaha memperluas keahlian perlu diberikan perhatian bagi memastikan KEKASA terus berkembang dan mempunyai kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai sebuah kesatuan.
“KEKASA perlu terus berusaha memperluas keahlian dengan menarik lebih ramai ahli supaya organisasi ini terus berkembang dan mampu memainkan peranan lebih berkesan dalam memperjuangkan kepentingan anggotanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program sehari anjuran KEKASA di Hotel Penview, baru-baru ini.
Pada program berkenaan, Tujoh turut menyampaikan ceramah bertajuk “Peranan dan Faedah Berkesatuan” yang memberikan pendedahan mengenai kepentingan penubuhan kesatuan serta manfaat keanggotaan kepada penjawat awam.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pihak kesatuan supaya memastikan setiap peruntukan yang diterima dimanfaatkan secara optimum bagi melaksanakan aktiviti dan program pembangunan organisasi seperti yang dirancang.
Menurutnya, setiap permohonan peruntukan juga perlu mengambil kira jumlah ahli, kepakaran serta kesesuaian program yang ingin dilaksanakan.
“Peruntukan yang diterima hendaklah digunakan untuk tujuan pembangunan organisasi serta melaksanakan aktiviti dan program yang dirancang. Permohonan juga perlu bersesuaian dengan jumlah keahlian, kepakaran dan program yang ingin dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau turut menggalakkan KEKASA supaya lebih proaktif memperkenalkan peranan dan manfaat berkesatuan melalui pelbagai pendekatan bagi meningkatkan kesedaran penjawat awam tentang kepentingan menyertai kesatuan.
“Kesatuan perlu mengambil inisiatif untuk memperkenalkan peranan dan manfaat berkesatuan kepada lebih ramai penjawat awam agar mereka memahami kepentingan menyertai kesatuan,” katanya.
Sementara itu, program sehari berkenaan turut memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan integriti anggota melalui beberapa sesi ceramah serta bengkel yang dikendalikan oleh penceramah jemputan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan agensi berkaitan.
Antara pengisian program termasuklah ceramah “Bantuan Awal Semasa Kecemasan” yang disampaikan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sarawak serta perkongsian bertajuk “Peranan Kaunselor Organisasi” oleh Kaunselor Organisasi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padawan, Helen Thomas.
Peserta turut mengikuti ceramah “Memperkasa Integriti Penjawat Awam” yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Integriti JPN Sarawak, Valentine Gabriel Bain.
Selain itu, bengkel Kecerdasan Buatan (AI) yang dikendalikan oleh Edufluencer Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Fazrul Mustaqim Sahmat, memberikan pendedahan kepada peserta mengenai perkembangan teknologi berkenaan serta potensinya dalam meningkatkan kecekapan pelaksanaan tugas harian.
Penganjuran program itu mencerminkan komitmen KEKASA untuk memperkukuh organisasi bukan sahaja dari aspek kebajikan dan keanggotaan, malah melalui peningkatan kompetensi, pengetahuan serta integriti ahlinya agar terus relevan dengan tuntutan persekitaran kerja semasa.
Turut hadir ialah Presiden KEKASA, Mordiah Buga dan Setiausaha Agung KEKASA, Datin Rozalena Jedil.



