ARTIKEL

Kenangan bersama-sama guru Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Long Gang pada ketika itu. FOTO KREDIT: Zulkiflee Sebli

Pahit manis bergelar guru pedalaman

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Menerima surat penempatan ke sekolah di pedalaman Sarawak mungkin menjadi detik paling mendebarkan dalam perjalanan kerjaya seorang guru, khususnya bagi mereka yang pertama kali meninggalkan keselesaan hidup di bandar untuk berkhidmat di kawasan terpencil.

Bayangan perjalanan yang jauh, kemudahan asas yang terhad, kesukaran mendapatkan pengangkutan serta keadaan yang memaksa mereka berjauhan daripada keluarga sering mencetuskan kebimbangan. Malah, ada yang tidak dapat menahan air mata apabila mengetahui lokasi penempatan masing-masing.

Kuarters guru yang dibina semula selepas kejadian banjir. Foto kredit: Zulkiflee Sebli

Namun, di sebalik perasaan takut dan berat hati untuk menerima kenyataan itu, tersimpan pengalaman yang mungkin tidak pernah dibayangkan sebelum mereka melangkah ke dunia pendidikan di pedalaman.

Ada guru yang pada mulanya berharap dapat bertukar secepat mungkin, tetapi akhirnya menangis apabila tiba masanya untuk meninggalkan sekolah, anak murid dan masyarakat setempat yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Zulkiflee Sebli berkata, perasaan takut dan bimbang dalam kalangan guru baharu yang menerima penempatan di pedalaman merupakan sesuatu yang boleh difahami, terutama bagi mereka yang berasal dari Semenanjung Malaysia atau bandar besar.

Menurutnya, kebimbangan itu bukan bermaksud mereka tidak sanggup menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik, sebaliknya berpunca daripada ketidakpastian mengenai kehidupan yang bakal ditempuhi di tempat baharu.

“Bayangkan seorang guru yang selama ini tinggal di bandar, mempunyai kemudahan pengangkutan, akses Internet serta bekalan air dan elektrik yang mencukupi, tiba-tiba menerima surat penempatan ke sebuah sekolah di pedalaman Sarawak yang mungkin belum pernah dikunjunginya.

“Mereka bukan takut untuk mengajar.

Sebaliknya, mereka bimbang tentang kehidupan yang bakal ditempuhi di tempat baharu,” katanya.

Antara perkara yang sering menjadi persoalan ialah jarak perjalanan, kemudahan pengangkutan, keadaan tempat tinggal, bekalan elektrik dan air, capaian Internet, keselamatan serta kesukaran untuk pulang menemui keluarga.

Bilik guru yang terjejas akibat banjir sehingga menyebabkan banyak harta benda sekolah musnah.Foto Kredit: Zulkiflee Sebli

Bagi guru yang sudah berkeluarga, cabaran itu lebih besar kerana mereka juga perlu memikirkan kebajikan pasangan, anak-anak serta tanggungjawab terhadap keluarga yang ditinggalkan.

Zulkiflee berkata keadaan geografi Sarawak yang luas turut menjadikan pengalaman penempatan di pedalaman berbeza berbanding dengan negeri lain.

Ada sekolah yang boleh diakses melalui jalan raya, manakala sebahagian lagi memerlukan perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda, bot ekspres atau bot panjang, malah ada yang perlu berjalan kaki untuk sampai ke destinasi.

“Kadangkala perjalanan yang kelihatan dekat pada peta boleh mengambil masa berjam-jam untuk sampai.

“Ada guru yang perlu bangun seawal pagi, menempuh perjalanan darat berjam-jam, kemudian menyambung perjalanan menggunakan bot untuk sampai ke sekolah,” jelasnya.

Keadaan itu bukan sahaja menuntut ketahanan fizikal, malah turut melibatkan kos perjalanan, masa dan risiko keselamatan yang perlu ditanggung sepanjang tempoh perkhidmatan.

Anak-anak Orang Ulu daripada etnik Kenyah yang menjadi penghibur hati sepanjang bertugas di Belaga.Foto Kredit: Zulkiflee Sebli

Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila berlaku kecemasan keluarga kerana guru yang bertugas jauh di pedalaman mungkin tidak dapat pulang dengan segera.

Malah, ada yang terpaksa menanggung perbelanjaan perjalanan yang tinggi untuk pulang ke bandar, khususnya ketika cuti persekolahan.

Sehubungan itu, Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) pernah menyuarakan kepentingan mengekalkan Bayaran Insentif Pedalaman bagi kategori P1, P2 dan P3 sebagai pengiktirafan terhadap kesukaran serta pengorbanan penjawat awam yang berkhidmat di kawasan berkenaan.

“Perjalanan ke sekolah pedalaman ketika itu bukan mudah.

Ada yang perlu menempuh laluan darat dan sungai, malah berjalan kaki selama beberapa jam untuk sampai ke sekolah.

Batang balak yang dihanyutkan arus banjir sehingga tersangkut di bahagian dapur rumah.Foto Kredit: Zulkiflee Sebli

“Ketika itu, kemudahan komunikasi juga sangat terhad.

Kami hanya berhubung dengan keluarga melalui surat-menyurat dan berpeluang menggunakan telefon awam apabila turun ke Pekan Belaga,” kongsinya.

Katanya, sebarang berita daripada keluarga biasanya hanya diketahui apabila ada penduduk kampung yang kebetulan tiba dari kawasan hilir, iaitu Belaga.

“Saya sendiri pernah tidak keluar dari kawasan sekolah selama dua hingga empat bulan. Untuk bertanya khabar ibu, saya terpaksa menggunakan radio komunikasi di klinik melalui panggilan reverse call.

“Itulah antara realiti kehidupan guru pedalaman ketika itu.

Pengorbanan bukan sahaja dari segi perjalanan dan tugas mendidik, tetapi juga terpaksa berjauhan daripada keluarga tanpa kemudahan komunikasi seperti yang kita nikmati hari ini,” katanya.

Menurut Zulkiflee, isu kebajikan guru di pedalaman tidak seharusnya dilihat dari sudut kemudahan fizikal semata-mata kerana tekanan emosi dan mental akibat berjauhan daripada keluarga juga perlu diberikan perhatian.

“Bayangkan seorang guru yang mempunyai anak kecil, sedangkan pasangannya pula bekerja di bandar. Mereka mungkin hanya dapat berjumpa ketika cuti sekolah atau pada waktu tertentu.

“Ada guru yang terpaksa meninggalkan anak yang sedang membesar.

Ada yang tidak dapat bersama-sama keluarga ketika berlaku kecemasan, sakit atau kematian ahli keluarga,” katanya kepada Suara Sarawak.

Justeru, beliau berpandangan sokongan kepada guru di pedalaman tidak sepatutnya terhad kepada pemberian elaun kewangan semata-mata.

Sebaliknya, menurut Zulkiflee, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memperkukuh sistem sokongan emosi, menyediakan program orientasi dan bimbingan mentor kepada guru baharu, memudahkan akses kepada perkhidmatan kaunseling serta mempertimbangkan penempatan yang lebih mesra keluarga.

Dasar pertukaran guru juga perlu mengambil kira faktor pasangan, anak-anak, kesihatan dan tempoh perkhidmatan di kawasan pedalaman supaya kebajikan mereka tidak terabai.

Bagaimanapun, di sebalik segala kesukaran itu, pengalaman berkhidmat di pedalaman turut menyimpan sisi kehidupan yang cukup istimewa.

Zulkiflee berkata KGBS turut menerima perkongsian pengalaman daripada guru yang pada awalnya menangis apabila mengetahui lokasi penempatan, namun akhirnya membina hubungan erat dengan masyarakat setempat sehingga berasa berat hati untuk meninggalkan kawasan berkenaan.

Katanya, selepas beberapa bulan atau tahun berkhidmat, perasaan takut itu mula berubah apabila guru semakin mengenali masyarakat setempat, memahami budaya dan adat resam serta membina hubungan rapat dengan anak murid.

“Ada guru yang pada awalnya begitu berharap untuk keluar dari pedalaman, tetapi apabila tiba masa untuk berpindah, mereka pula menangis kerana terlalu berat meninggalkan sekolah dan masyarakat yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri.

“Kadangkala senyuman seorang murid, ucapan terima kasih daripada ibu bapa atau layanan masyarakat setempat jauh lebih bermakna daripada apa yang dapat dinilai dengan wang ringgit,” katanya.

Pengalaman itu, menurutnya, menjadi antara keistimewaan profesion perguruan di pedalaman yang tidak semestinya dapat dirasai oleh guru di sekolah bandar.

Selain mendidik anak bangsa, guru berpeluang mengenali kepelbagaian budaya, bahasa dan cara hidup masyarakat Sarawak, sekali gus menjadi sebahagian daripada komuniti tempat mereka berkhidmat.

Dalam sesetengah keadaan, guru bukan sahaja dikenali sebagai tenaga pengajar, malah menjadi individu yang dirujuk oleh masyarakat apabila memerlukan pandangan dan bantuan.

Lebih penting lagi, kehadiran seorang guru mampu membuka peluang masa depan kepada anak-anak yang mungkin mempunyai akses terhad kepada kemudahan pembelajaran, bahan bacaan, teknologi dan peluang pendidikan.

Zulkiflee berkata guru memainkan peranan besar dalam membina keyakinan, menyemai cita-cita serta meyakinkan anak-anak pedalaman bahawa mereka juga berpeluang menjadi doktor, jurutera, pendidik, pegawai kerajaan dan pemimpin negara.

“Kehadiran seorang guru boleh membuka jendela kehidupan mereka.

“Ada murid yang mungkin tidak pernah membayangkan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti sehinggalah seorang guru memberikan dorongan dan keyakinan kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, kesan perjuangan seorang guru mungkin tidak dapat dilihat dalam tempoh sehari atau setahun, tetapi hasilnya boleh disaksikan selepas 10, 20 atau 30 tahun apabila bekas anak murid kembali ke kampung sebagai golongan profesional dan pemimpin masyarakat.

Atas sebab itu, beliau menegaskan pengorbanan guru yang sanggup meninggalkan keselesaan hidup di bandar demi memastikan anak-anak di kawasan terpencil tidak tercicir daripada pendidikan perlu dihargai melalui tindakan yang nyata.

Antara perkara yang perlu diberikan perhatian termasuklah mengekalkan dan mengkaji semula insentif pedalaman, menaik taraf kuarters guru, menyediakan kemudahan pengangkutan yang lebih sistematik serta memastikan bekalan air, elektrik dan capaian Internet lebih terjamin.

Aspek keselamatan, akses kepada perkhidmatan kesihatan, bantuan kecemasan, kebajikan keluarga dan kesihatan mental juga perlu menjadi antara keutamaan kerajaan.

Pada masa sama, sistem penempatan guru perlu disesuaikan dengan realiti geografi Sarawak dengan mengambil kira latar belakang calon, keutamaan anak Sarawak dan kesediaan mereka untuk berkhidmat di kawasan tertentu.

KGBS turut berpandangan kajian menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti punca guru tidak melaporkan diri untuk bertugas serta sebab mereka meletakkan jawatan selepas menerima penempatan di Sarawak.

“Kita perlu mencari punca sebenar, bukan sekadar menyalahkan guru.

“Pendirian KGBS jelas, kita mahu guru yang ditempatkan di pedalaman bukan sekadar mampu bertahan, tetapi benar-benar mendapat sokongan dan kemudahan untuk terus berkhidmat dengan selesa,” katanya.

Ketika memberikan nasihat kepada guru baharu, Zulkiflee berkata mereka perlu memberikan peluang kepada diri sendiri untuk mengenali persekitaran sebelum membuat penilaian terhadap sesuatu tempat.

Bangunan kelas baharu yang dibina selepas banjir besar pada 1996.FOTO KREDIT: Zulkiflee Sebli
Kelas Tahun Dua yang pertama kali diajar sepanjang bertugas di Belaga.FOTO KREDIT: Zulkiflee Sebli

Beliau turut menggalakkan guru mendapatkan maklumat daripada rakan sekerja yang berpengalaman, menghubungi pihak sekolah lebih awal, mengenali masyarakat setempat serta membina jaringan sokongan.

Bagaimanapun, beliau berharap agar KPM tidak membiarkan guru baharu menyesuaikan diri secara bersendirian tanpa bimbingan dan persediaan yang sewajarnya.

“Jangan sekadar mengeluarkan surat penempatan dan mengharapkan mereka menyesuaikan diri sendiri.

“Sediakan taklimat, orientasi, mentor dan maklumat yang tepat tentang keadaan sekolah serta laluan perjalanan,” katanya.

Bagi Zulkiflee, guru yang melangkah ke pedalaman dengan perasaan takut dan tidak pasti seharusnya pulang dengan membawa sesuatu yang jauh lebih berharga daripada pengalaman bekerja, iaitu kepuasan kerana pernah menjadi sebahagian daripada perubahan dalam kehidupan anak-anak di kawasan berkenaan.

Tambah beliau, keadaan guru yang bertugas di kawasan pedalaman kini semakin baik berbanding dengan dahulu apabila pelbagai kemudahan disediakan oleh kerajaan.

Selain menerima elaun pedalaman mengikut kategori P1 hingga P3, sekolah juga dibekalkan dengan penjana elektrik bagi memastikan bekalan elektrik dapat disediakan, selain kemudahan Internet untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran.

Malah, terdapat juga sekolah yang kini mempunyai akses jalan raya, sekali gus memudahkan pergerakan guru ke kawasan berkenaan.

Kuarters Guru Besar yang turut terjejas ketika kejadian banjir.FOTO KREDIT: Zulkiflee Sebli

Justeru, segala kemudahan dan bantuan yang disediakan itu seharusnya dihargai. Jika dibandingkan dengan keadaan dahulu, banyak perubahan positif telah dinikmati oleh warga pendidik di pedalaman.

Nikmat apa lagi yang hendak kita nafikan apabila pelbagai kemudahan semakin tersedia untuk memudahkan kehidupan dan tugas guru di kawasan pedalaman?

Beliau berharap setiap guru yang pernah berkhidmat di pedalaman akan mengenang pengalaman itu sebagai perjalanan yang mengajar erti pengorbanan, kasih sayang, kesabaran dan kemanusiaan.

“Kepada semua guru yang sedang berkhidmat di pelosok pedalaman Sarawak, jasa dan pengorbanan anda tidak pernah dilupakan.

“Jangan anggap penempatan di pedalaman sebagai satu hukuman.

Lihatlah ia sebagai satu peluang untuk meninggalkan legasi,” katanya.

Beliau menegaskan pendidikan di pedalaman tidak boleh dibiarkan bergantung pada pengorbanan guru semata-mata, sebaliknya perlu disokong melalui dasar kerajaan yang adil, kemudahan yang mencukupi dan penghargaan yang sewajarnya.

Akhirnya, guru mungkin datang ke pedalaman dengan membawa rasa takut dan air mata, tetapi apabila tiba masanya untuk melangkah pergi, mereka membawa pulang kenangan, kasih sayang dan kisah kehidupan yang akan kekal sepanjang hayat.

BERITA LAIN

Pakaian lama masih bernilai

SETIAP hari, khususnya pada hujung minggu, pusat beli-belah di sekitar bandar raya ini dipenuhi pelbagai pelanggan. Ada pelanggan dari luar Kuching, malah ada juga yang

Keahlian penentu kekuatan kesatuan

Kesatuan Kakitangan Sokongan Jabatan Pelajaran Sarawak (KEKASA) disaran supaya terus memperluas keahlian dengan menarik lebih ramai penjawat awam menyertai organisasi itu bagi memperkukuh peranannya dalam

BERITA TERBARU