SETIAP hari, khususnya pada hujung minggu, pusat beli-belah di sekitar bandar raya ini dipenuhi pelbagai pelanggan.
Ada pelanggan dari luar Kuching, malah ada juga yang datang dari luar Sarawak untuk membeli-belah di sini.
Bagi memastikan pelanggan terus berkunjung, setiap kedai dan butik di pusat beli-belah berkenaan melakukan penambahbaikan atau menawarkan produk yang dapat memenuhi kehendak pelanggan, khususnya dari segi fesyen dan trend semasa.
Oleh itu, jika diperhatikan, kebanyakan pengunjung yang keluar dari pusat beli-belah membawa satu atau dua beg berisi barangan yang dibeli. Pakaian pula merupakan antara keperluan harian yang boleh dikatakan kerap dibeli.
Bercakap mengenai pakaian, sesetengah orang membelinya kerana minat terhadap fesyen, tuntutan kerja atau keseronokan membeli-belah.
Bagaimanapun, tabiat membeli pakaian baharu secara berlebihan dan berulang kali sehingga sukar dikawal boleh menjadi antara tanda gangguan pembelian kompulsif Compulsive Buying Disorder, iaitu keadaan apabila seseorang mengalami dorongan kuat untuk membeli-belah serta berasa gelisah atau cemas sekiranya tidak dapat membeli barangan yang diingini.
Selain itu, tabiat membeli pakaian secara berlebihan juga mungkin dipengaruhi oleh budaya fesyen pantas dan media sosial. Pendedahan berterusan kepada kandungan seperti haul, unboxing dan trend di media sosial boleh mendorong seseorang untuk mendapatkan pengiktirafan daripada orang lain.
Pengiktirafan luaran merujuk kepada keadaan apabila seseorang terlalu bergantung pada pujian, persetujuan atau penilaian orang lain untuk berasa dirinya berharga, diterima atau yakin terhadap diri sendiri.
Disebabkan itu, tidak hairanlah jika almari pakaian menjadi terlalu penuh dengan pelbagai jenis pakaian. Malah, ada yang terpaksa menyediakan ruang tambahan di sudut bilik tidur untuk menyimpan pakaian tersebut.
Bagaimanapun, jika pakaian mengambil terlalu banyak ruang di dalam bilik, keadaan itu boleh menimbulkan masalah apabila bilik kelihatan berserabut dan bersepah. Secara tidak langsung, keadaan tersebut boleh menyebabkan fikiran menjadi penat, tekanan dan kesukaran untuk tidur dengan lena.
Sehubungan itu, perkongsian saya pada minggu ini berkait rapat dengan perkongsian minggu lalu, iaitu mengenai pembersihan mingguan.
Minggu lalu, saya membincangkan kepentingan membersihkan bilik tidur secara berkala bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih, kemas, selamat dan selesa.
Ketika membersihkan dan mengemas bilik tidur, kita sering terlupa almari pakaian juga memerlukan perhatian dan penjagaan.
Hal ini demikian kerana bilik tidur yang terlalu berserabut dengan pakaian bertimbun, barangan yang tidak tersusun, sampah serta peralatan yang tidak digunakan boleh menjejaskan keselesaan dan kualiti tidur.
Tanpa disedari, pakaian yang sudah lama tidak dipakai terus tersimpan sehingga almari menjadi penuh dan berselerak, sekali gus menyukarkan kita mencari pakaian yang diperlukan.
Mengemas pakaian lama bukan sekadar aktiviti membersihkan almari, malah merupakan amalan positif yang mampu membentuk gaya hidup lebih teratur, berjimat cermat dan mesra alam.
Justeru, aktiviti membersihkan dan menyusun semula almari pakaian wajar dijadikan amalan secara berkala. Aktiviti ini bukan sahaja membantu mewujudkan ruang yang lebih kemas, malah memberikan peluang kepada kita untuk menilai semula pakaian yang masih boleh digunakan.
Ramai antara kita mempunyai pakaian yang sudah lama tidak dipakai tetapi masih tersimpan di dalam almari. Ada pakaian yang terlalu kecil, tidak lagi menepati cita rasa atau sekadar disimpan kerana sayang untuk dibuang.
Hakikatnya, tidak semua pakaian lama perlu dibuang. Ada antaranya masih dalam keadaan baik, tidak koyak dan sesuai dipakai, tetapi tidak lagi menjadi pilihan. Pakaian seperti ini sebenarnya masih mempunyai nilai dan boleh dimanfaatkan oleh orang lain.
Inilah yang sering saya lakukan dari semasa ke semasa. Biasanya, saya menyusun semula almari pakaian setiap dua atau tiga bulan sekali atau selepas membeli sejumlah pakaian baharu. Saya mahu memastikan almari dan ruang bilik sentiasa kemas serta mewujudkan suasana yang tenang.
Dahulu, saya pernah mengemas empat buah almari pakaian kecil milik saya. Ketika mengemas, saya mendapati terdapat beberapa helai pakaian yang sudah lama tidak dipakai, malah ada juga yang tidak lagi berkenan di hati.
Meskipun sudah lama tidak digunakan, semua pakaian tersebut masih dalam keadaan baik.
Saya menyedari perkara ini apabila mengasingkan pakaian mengikut kategori, seperti pakaian harian, pakaian kerja, pakaian rasmi serta pakaian yang sudah jarang digunakan.
Setiap pakaian mempunyai kegunaannya, namun jika jumlahnya terlalu banyak sehingga memenuhi ruang almari dan bilik, keadaan itu boleh menimbulkan masalah.
Oleh itu, biasanya saya akan mengambil beberapa langkah. Antaranya termasuklah memberikan pakaian yang masih elok kepada golongan yang memerlukan, menjual pakaian berkualiti melalui platform jual beli barangan terpakai serta mengubah suai pakaian lama menjadi fesyen baharu dengan sedikit sentuhan jahitan.
Selain itu, kain lama boleh dijadikan kain pembersih atau beg membeli-belah. Akhir sekali, pakaian yang tidak lagi sesuai dipakai boleh dihantar ke pusat pengumpulan tekstil yang menerima bahan tersebut.
Kesimpulannya, kita tidak semestinya perlu membeli pakaian baharu untuk kelihatan menarik. Sebaliknya, kreativiti dalam mengubah suai pakaian lama mampu menghasilkan penampilan yang berbeza tanpa mengeluarkan perbelanjaan yang besar.
Ingatlah, pakaian yang tidak lagi kita perlukan mungkin masih menjadi keperluan dan sumber kegembiraan kepada orang lain.



