ARTIKEL

Kuasa dan tanggungjawab

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PILIHAN raya bukan sekadar parti dan pemimpin, ia juga adalah kuasa dan tanggungjawab rakyat.

Rakyat akan memberikan kuasa kepada pemimpin, dan rakyat juga akan melucutkan kuasa pemimpin.

Sebaik mendapat kuasa, pemimpin mempunyai tanggungjawab terhadap rakyat di kawasan yang diwakilinya.

Kebajikan dan keperluan rakyat harus ditunaikan, sebagaimana yang terkandung dalam manifesto.

Jika tidak, pemimpin tersebut pasti akan ‘dihukum’, pada pilihan raya akan datang, sama ada daripada parti sendiri atau rakyat.

Betapa besarnya kuasa rakyat, dalam menentukan pemimpin

. Namun kuasa tersebut tidak membawa sebarang makna, jika rakyat tidak turun mengundi.

Salah satu kuasa penentu akan hilang begitu sahaja.

Oleh itu, tanggapan “tidak turun mengundi tidak mengapa”, harus dikikis, kerana ia bukan hanya membabitkan satu atau dua undi, tetapi ribuan undi, malah mungkin jutaan

. Inilah yang berlaku jika seorang demi seorang yang layak mengundi mengabaikan tanggungjawab masing-masing.

Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sarawak Ke-13 bakal melakar sejarah apabila golongan belia berusia 18 tahun (Undi-18) turun padang untuk memangkah buat pertama kali pada 12 Disember depan.

Golongan pengundi muda ini akan membentuk hampir 40 peratus daripada keseluruhan daftar pemilih, menjadikan mereka sebagai kelompok penting yang mampu mengubah keputusan di ‘kerusi panas’.

Mereka adalah antara pertambahan 806,767 pemilih dalam tempoh lima tahun. Ia bermakna pada PRU-13 akan menyaksikan jumlah pemilih meningkat kepada lebih 2 juta (2,058,781), berbanding PRU-13, lebih sejuta pemilih (1,252,014).

Bagaimana untuk menarik golongan ini?

Hakikatnya, generasi Gen Z ini akan membawa isu berbeza, terutama dalam aspek peluang pendidikan, pekerjaan berkualiti, keterhubungan digital, mahupun integriti dan ketelusan.

Peluang pekerjaan terbatas, atau kurang sesuai dengan kelayakan akademik menyebabkan golongan ini, melangkah keluar, meneroka peluang dan ganjaran yang lebih baik.

Mereka juga mendambakan akses Internet berkelajuan tinggi yang stabil di seluruh negeri bagi menyokong ekonomi gig, keusahawanan digital, dan pembelajaran dalam talian.  

Malah golongan ini juga cukup peka dengan kepimpinan bersih, pentadbiran cekap, serta mahukan ruang suara anak muda dalam penggubalan dasar.

Realitinya Kerajaan Sarawak telah pun menyediakan inisiatif kebajikan negeri seperti Program Sarawakku Sayang (SKS), baucar subsidi tambang penerbangan untuk mahasiswa, serta pelaksanaan Skim pendidikan tinggi percuma (FTES) di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri.

Mulai tahun ini, sebanyak 6,246 pelajar menerima tawaran Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), yang melibatkan empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak.

Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak mencatat jumlah tertinggi dengan 2,802 pelajar, diikuti Universiti Teknologi Sarawak (UTS) seramai 2,031, Curtin University Malaysia (949) dan Kolej Universiti i-CATS (464).

Manakala 3,195 pelajar layak menerima elaun tahunan RM15,000 bagi menampung kos sara hidup dan penginapan. Dalam Belanjawan 2027, Sarawak memperuntukkan RM338 juta untuk pendidikan.

Daripada jumlah tersebut sebanyak RM200 juta untuk pelajar yang menerima FTES. Manakala RM50 juta untuk elaun wang saku pelajar peringkat diploma dan ijazah. Sebanyak RM10 juta bagi diskaun bayaran balik PTPTN, RM8 juta bagi subsidi tiket penerbangan bagi pelajar yang menuntut di luar Sarawak. Sementara itu, RM2 juta untuk baucar buku.

Kos pengajian di institusi pengajian tinggi sering menjadi beban kepada ibu bapa, khususnya keluarga yang berpendapatan rendah.

Oleh itu FTES bertujuan untuk memberi peluang kepada generasi belia ini melanjutkan pengajian tinggi tanpa dibebani yuran. Isu ini sangat dekat dengan hati golongan ibu bapa kelas pertengahan dan berpendapatan rendah yang melihat pendidikan sebagai satu-satunya jalan keluar daripada kemiskinan.

Matlamat utama rancangan ini adalah untuk memastikan anak Sarawak yang layak mendapat peluang pendidikan tinggi tanpa mengira latar belakang ekonomi keluarga.

Program pendidikan tinggi percuma bukan sahaja memberikan manfaat kepada pelajar, malah menyumbang pembangunan ekonomi negeri.

Ia memerlukan tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi, kejuruteraan, tenaga, perubatan, pertanian moden dan pelbagai sektor lain. Dengan melahirkan lebih ramai graduan berkelayakan, Sarawak dapat meningkatkan keupayaan tenaga kerja untuk memenuhi keperluan industri.

Realitinya, dasar pendidikan Sarawak bukan sekadar mahu mengubah nasib rakyat, tetapi juga sebagai transformasi ekonomi masyarakat, seiring menuju negeri maju pada 2030.

Dengan pendidikan yang berkualiti dan peluang yang lebih luas, Sarawak bakal melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan mampu membawa negeri ini ke arah kemajuan yang lebih gemilang.

Oleh itu, kegagalan menarik pengundi baharu dalam PRU di tiga negeri, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor baru-baru ini dilihat sebagai antara punca utama Pakatan Harapan (PH) tumbang, sebaliknya, ‘lautan biru’ Barisan Nasional (BN) menguasai tiga negeri tersebut.

Pada PRU di Melaka Sabtu lalu, BN yang bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) meraih 24 kerusi, daripada 28 kerusi yang ditandingi.

BN menang 21 kerusi daripada 23, manakala PN tiga kerusi daripada lima. Pakatan Harapan (PH) sekadar meraih empat kerusi. Manakala PRU di Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu, BN yang bergandingan denga PN meraih 25 kerusi daripada 36 yang dipertandingkan.

BN menang 18 kerusi, manakala PN tujuh kerusi. PH pula menang 11 kerusi.

Pada PRU di Johor pada 11 Julai lalu BN menang 48 kerusi daripada 56 yang ditandingi. Pakatan Harapan (PH) hanya berjaya merangkul lapan kerusi, manakala PN, Bebas, MUDA, Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) gagal menawan sebarangan kerusi.

Menurut Pensyarah Pengajian Dasar di Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, tiga punca utama kekalahan PH pada PRU Melaka, ialah kegagalan menembusi segmen pengundi Melayu, menarik pengundi baharu serta membina naratif kempen yang mampu meyakinkan pengundi.

Katanya, kelemahan sama turut ditunjukkan PH dalam PRN Johor pada Julai dan Negeri Sembilan pada Ogos lalu.

Kita berharap 2,034,373 pemilih biasa di Sarawak akan turun beramai-ramai pada 12 Disember nanti, terutama pemilih berusia 18 tahun.

Kita juga berharap peratusan kali ini lebih tinggi daripada peratusan keluar mengundi pada PRU Ke-12, yang menyaksikan hanya 60.67 peratus keluar mengundi, jauh lebih rendah daripada sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), iaitu 70 peratus.

Kuasa dan tanggungjawab berada di tangan pemilih.

Tanggungjawab mengundi tidak harus dipandang enteng, kerana pilihan masing-masing akan menentukan kerajaan yang memerintah, kerajaan yang akan membantu rakyat, dan kerajaan yang akan menentukan hala tuju negeri selepas ini.

BERITA LAIN

Lawas bukan lagi pekan hujung

MALAM ini, Lawas mencatatkan satu lagi detik penting dalam sejarah pembangunannya apabila Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Jambatan Bandar Lawas,

Apabila duit lesap, setiap saat berharga

KADANG-KADANG apabila membaca kisah seseorang menjadi mangsa penipuan, kita tertanya-tanya bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku. Kita mungkin menganggap diri kita cukup berhati-hati, tidak mudah mempercayai

BERITA TERBARU