KADANG-KADANG apabila membaca kisah seseorang menjadi mangsa penipuan, kita tertanya-tanya bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku.
Kita mungkin menganggap diri kita cukup berhati-hati, tidak mudah mempercayai orang yang tidak dikenali dan mampu membezakan antara perkara yang benar dengan yang mencurigakan.
Namun, hakikatnya, sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa.
Saya masih ingat satu kejadian kira-kira tiga tahun lalu yang melibatkan seorang wartawan kami.
Ketika itu, saya sedang menikmati makan tengah hari apabila telefon bimbit berdering.
Panggilan tersebut datang daripada wartawan kami yang berada di Kuala Lumpur.
Saya tahu dia sedang berusni bersama-sama keluarganya.
Malah, mereka baru sahaja tiba di Kuala Lumpur pada malam sebelumnya.
Jadi, saya langsung tidak menyangka panggilan itu membawa berita yang cukup mengejutkan.
Katanya, wang sebanyak RM13,000 dalam akaun banknya sudah hilang!
Saya segera bertanya, halang ke mana?
Adakah dia membuat sebarang transaksi atau terus silap mengeluarkan wang?
Menurutnya, ketika memasukkan kad ke dalam mesin pengeluaran wang automatik (ATM), dia terkejut apabila mendapati baki akaunnya hanya tinggal 28 sen, sedangkan sebelum itu terdapat RM13,000 dalam akaun berkenaan.
Bayangkan perasaannya ketika itu.
Baru sehari tiba di Kuala Lumpur untuk menikmati percutian bersama-sama keluarga, tiba-tiba wang simpanan yang bukan sedikit jumlahnya lesap begitu sahaja.
Kebetulan, saya mempunyai seorang kenalan baik yang berpengalaman mengendalikan hal berkaitan kewangan dan kes penipuan.
Lebih memudahkan keadaan, kenalan saya itu juga berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri mesyuarat di ibu pejabat.
Selepas mendengar hal yang berlaku, beliau segera menasihatkan wartawan kami supaya menghubungi talian 997 tanpa berlengah.
Ketika itu, saya sendiri tidak begitu memahami fungsi talian berkenaan.
Namun, satu perkara yang saya sedar, dalam keadaan seperti ini, masa amat berharga dan tindakan segera boleh membawa perbezaan yang besar.
Talian 997 merupakan talian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang berperanan menyelaras tindakan pantas antara pihak berkuasa dengan institusi kewangan dan agensi berkaitan bagi menangani kes penipuan kewangan dalam talian.
Apabila laporan dibuat dengan segera, maklumat transaksi yang diberikan dapat membantu pihak bank dan pihak berkuasa mengesan aliran wang serta mengambil tindakan sewajarnya, termasuk menyekat dana yang masih boleh diselamatkan.
Dalam kes wartawan kami, berita yang paling melegakan akhirnya tiba apabila wang yang disangka sudah lesap berjaya diperoleh semula.
Bagaimanapun, wang tersebut tidak dikembalikan sekali gus. Sebaliknya, jumlah berkenaan dimasukkan semula ke dalam akaunnya secara berperingkat-peringkat.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa wang itu tidak dapat dikembalikan sepenuhnya dalam satu transaksi?
Dalam banyak kes penipuan, wang mangsa lazimnya tidak dibawa lari dalam satu akaun.
Sindiket biasanya bertindak pantas memindahkan wang tersebut ke beberapa akaun lain, termasuk akaun kedai, sebelum dikeluarkan atau dipindahkan sekali lagi bagi menyukarkan usaha pengesanan.
Oleh itu, proses mendapatkan semula wang bukanlah semudah membuat satu panggilan dan menunggu semuanya selesai.
Pihak bank dan pihak berkuasa perlu meneliti rekod transaksi, mengesan akaun penerima, mengenal pasti jumlah wang yang berjaya disekat serta melaksanakan proses pengesahan yang diperlukan.
Sekiranya sebahagian wang berjaya dikesan dalam satu akaun, manakala selebihnya berada dalam akaun lain, proses pemulangan mungkin mengambil tempoh yang berbeza.
Keadaan ini boleh menyebabkan wang dikembalikan secara berperingkat-peringkat, bergantung pada hasil pengesanan, siasatan dan prosedur yang berjalan.
Namun, satu perkara yang perlu difahami, tidak semua mangsa bernasib baik seperti wartawan kami.
Ada yang kehilangan wang yang disimpan bertahun-tahun, malah ada yang terpaksa menanggung kerugian besar tanpa berjaya mendapatkan semula walaupun satu sen pun.
Sebab itulah, tindakan pantas amat penting apabila kita menyedari wang dalam akaun hilang akibat penipuan atau terdapat transaksi mencurigakan.
Jangan berlengah.
Segera hubungi talian 997, maklumkan kepada pihak bank dan buat laporan polis.
Simpan segala bukti berkaitan, termasuk mesej, nombor telefon, resit transaksi dan tangkap layar yang boleh membantu siasatan.
Dalam masa yang sama, jangan mudah mempercayai individu yang menghubungi selepas kejadian dengan mendakwa mampu mendapatkan semula wang yang hilang dengan bayaran tertentu.
Ini juga antara helah sindiket yang cuba mengambil kesempatan terhadap mangsa yang sedang terdesak untuk mendapatkan kembali wang mereka.
Sudahlah ditipu sekali, jangan sampai menjadi mangsa buat kali kedua.
Dalam konteks ini, kesedaran mengenal keselamatan digital perlu terus dipertingkatkan.
Peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memperluas kesedaran masyarakat tentang penggunaan Internet dan perkhidmatan komunikasi secara selamat serta bertanggungjawab juga amat penting.
Hari ini, telefon pintar dan Internet sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.
Urusan perbankan, membeli-belah, pembayaran bil dan pelbagai transaksi kewangan boleh dilakukan dengan mudah, hanya melalui beberapa sentuhan pada skrin telefon.
Kemudahan ini sememangnya banyak membantu dan menjimatkan masa.
Namun, dalam masa yang sama, perkembangan teknologi turut membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan.
Justeru, kita perlu lebih peka terhadap pautan mencurigakan, panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank atau agensi kerajaan, serta mesej yang meminta maklumat peribadi dan perbankan.
Jangan sesekali berkongsi nombor PIN, kata laluan atau kod pengesahan sekali guna (OTP) dengan sesiapa, walaupun individu tersebut mendakwa mewakili pihak yang mempunyai kuasa atau institusi yang dipercayai.
Kita juga tidak seharusnya menganggap golongan berpendidikan tinggi atau mereka yang mahir menggunakan teknologi kеbаl daripada ancaman penipuan.
Sindiket kini semakin licik.
Mereka sentiasa mencari helah baharu, menggunakan pelbagai pendekatan dan mengeksploitasi keadaan serta emosi mangsa untuk memperdaya orang ramai.
Apabila mengenang kembali kejadian yang menimpa wartawan kami, saya terfikir betapa pentingnya seseorang mengetahui saluran bantuan yang betul sebelum berdepan situasi sedemikian.
Wartawan kami mungkin bernasib baik kerana mempunyai kenalan yang dapat memberikan panduan ketika dia benar-benar memerlukan bantuan.
Namun, tidak semua orang mempunyai kelebihan yang sama.
Sebab itu, kita tidak seharusnya menunggu sehingga menjadi mangsa untuk mengetahui tindakan yang perlu diambil. Ambillah sedikit masa untuk mengenali saluran bantuan yang tersedia.
Simpan nombor 997 dalam telefon dan pastikan ahli keluarga, terutamanya ibu bapa serta anak-anak, turut mengetahui fungsi talian berkenaan.
Jangan tunggu sehingga wang dalam akaun tinggal 28 sen, barulah kita hendak mengetahui tahu.
Kita mungkin tidak mampu menghalang setiap cubaan penipuan, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh melengkapkan diri dengan pengetahuan, meningkatkan kewaspadaan dan mengetahui langkah yang perlu diambil apabila berdepan situasi mencurigakan.
Dalam dunia digital hari ini, berhati-hati bukan lagi satu pilihan.
Ia sudah menjadi satu keperluan.




