Di atas kertas, tiga kerusi “bandar” di Parlimen Bandar Kuching bakal menyaksikan pertembungan tumpuan. Sudah tentu ia melibatkan dua musuh tradisi — DAP dan SUPP.
DUN Padungan antara yang menarik perhatian. Tumpuan sama ada Chong Chieng Jen mampu mempertahankan kemenangannya pada penggal lalu atau kali ini berputih mata.
Umum mengetahui kemenangan Chieng Jen, 55, pada penggal lalu dibantu oleh sabotaj cabang SUPP Bandar Kuching yang diketuai Datuk Lilly Yong, yang menutup pusat operasi sebagai tanda protes terhadap calon yang dipilih pucuk pimpinan parti pada waktu itu, Datuk Wee Hong Seng.
Dalam saingan tersebut, Wee berputih mata apabila hanya mengutip 3,488 undi berbanding Chieng Jen 4,686 undi memenangi saingan empat penjuru.
Dengan 24,106 pemilih yang dikemas kini sehingga 25 Oktober lalu — yakni 23,855 pengundi biasa dan 251 anggota polis dan keluarga, Chieng Jen pasti teruja untuk mempertahankan kerusi ini untuk penggal kedua dan lima penggal sebagai wakil rakyat.
Siapa taruhan SUPP untuk mencabar Chieng Jen? Antara nama yang disebut-sebut ialah Ketua Pemuda SUPP Bandar Kuching, Nicholas Wung Duk Ying dan bekas ketuanya, yang pernah “dicadang” oleh Lilly pada penggal lalu, Eric Tay Tze Kok.
Eric, 48, lulusan Sarjana Sains Gunaan (Seni Bina) dari Curtin University of Technology di Perth, Australia pernah menjadi calon SUPP untuk Parlimen Bandar Kuching pada PRU Ke-15 sebelum tewas kepada calon DAP, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen.
Nicholas Wung, 40, merupakan lulusan Undang-Undang daripada University of Reading, United Kingdom merupakan Bendahari Persatuan Peguam Bela Sarawak Cawangan Kuching untuk beberapa penggal, termasuk 2024–2026.
Dalam saingan pada 12 Disember depan, Parti Bumi Kenyalang (PBK) sudah hampir pasti memasamkan Raymond Thong sebagai calonnya, untuk menjadikan saingan tiga penjuru di kerusi yang memiliki hampir 90 peratus populasi Cina.
Tidak kurang menarik di kerusi DUN Pending, yang menjadi kubu kuat penyandangnya, wanita besi bernama Violet Yong Wui Wui daripada DAP.
Violet, 49, yang bertahan di DUN Pending ini sejak 2006 dan pada penggal lalu memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 540 undi, dalam saingan lima penjuru.
Violet memperoleh 5,188 undi; Milton Foo Tiang Wee (4,648); Tan Kay Hok – PSB (1,858); Patrick Teo Kuang Kim – PBK (978) dan Chan Chee Hiong – ASPIRASI (204).
Dalam saingan pada 12 Disember, Violet dijangka akan dicabar sekali lagi oleh Kuang Kim, 66, yang merupakan seorang jurutera.
Manakala tiga nama yang dikhabarkan berpotensi untuk diketengahkan SUPP ialah Datuk Bandar Kuching Selatan Wee Hong Seng, yang kecundang di tangan Chieng Jen pada 2021 di DUN Padungan; Setiausaha Politik yang juga Ketua Wanita SUPP, Kho Teck Wan yang pernah menjadi calon Parlimen Bandar Kuching pada 2018 dan Ketua Biro Pengaduan Awam SUPP Milton Foo yang tewas dua kali berturut-turut di kerusi DUN Pending, termasuk hanya dengan 540 undi pada 2021.
Adakah Violet dapat berkempen dengan selesa pada kali ini? Seperti kata penganalisis politik, Dr James Chin, sepanjang penggal lalu, Violet hanya tahu “komplen” termasuk tentang ART dan kurang mencadangkan pembangunan di kawasannya. Dan, Dr James membayangkan kemungkinan saingan kali ini agak berat bagi wanita besi ini, memandangkan GPS datang dengan “track record”, idea pembangunan dan kesungguhan mengubah Pending.
Untuk rekod, DUN Pending yang dikuasai 87.1 peratus pemilih Cina memiliki 37,129 pengundi biasa, 55 pemilih tentera dan 845 pemilih pos — menjadi keseluruhan 38,029 pemilih berdaftar.
Dengan 47,315 pemilih berdaftar, termasuk 79 orang dalam kalangan anggota polis, DUN Batu Lintang dijangka menjadi medan pertempuran paling panas.
Puncanya, kerusi ini dimenangi penyandangnya See Chee How atas tiket PSB dengan hanya majoriti 93 undi. Calon GPS-SUPP Sih Hua Tong membawa pulang 4,327 undi, manakala Cherishe Ng (PKR) 1,823 undi, Voon Lee Shan – PBK (1,570 undi) dan Leong Shaow Tung — Aspirasi (187 undi).
Terdapat 94 undi ditolak manakala 75 tidak dikembalikan ketika 12,496 daripada 29,694 pemilih menunaikan tanggungjawab demokrasi ketiga itu.
Dengan dominasi kaum Cina sebanyak 81.4 peratus, kerusi ini menjadi tumpuan sama ada Chee How mampu mempertahankannya untuk kali keempat, untuk parti ketiga yang diwakili.
Difahamkan, Chee How akan mempertahankan kerusi ini atas kerusi SUPP — musuh ketatnya suatu ketika dahulu, setelah berkhidmat lebih dua tahun sebagai wakil rakyat Bebas menerusi GPS.
Pencalonan beliau dikatakan mendapat tentangan daripada SUPP Batu Lintang, yang percaya ketua mereka, Sih Hua Tong yang kalih tips kepada Chee How pada 2021, lebih layak diangkat untuk kali keempat.
Siapa pencabar GPS?
Difahamkan, DAP kini sedang mempersiapkan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen untuk bersaing di kerusi DUN Lintang. Manakala PKR mahukan Cherishe Ng, anak bekas pengerusinya, Dominique Ng bertanding semula.
Berdasarkan sumber PH, kini sedang berlaku rundingan hangat antara kedua-dua parti itu untuk bertukar kawasan pertandingan.
Jika DAP dapat merundungkan Dr. Kelvin bertanding di kerusi tersebut untuk cabaran satu lawan satu atau lawan dua dengan GPS dan PBK, maka kerusi DUN Senadin di Miri akan diserahkan kepada PKR, yang berkembang akan menurunkan Ahli Parlimen Miri yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man yang akan bertanding di DUN Senadin.
Yang pasti pertembungan sudah pun bermula untuk GPS-SUPP lebih awal, sebelum aksi sebenar diketahui pada 28 November ini.




