SARATOK: Sepasang kekasih ditahan polis di Kampung Melango dekat sini, hari ini, bagi membantu siasatan kes tembakan membabitkan sebuah kedai kopi di Sarikei, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek lelaki berusia 43 tahun mempunyai lapan rekod jenayah lampau, manakala pasangan wanitanya yang berusia 42 tahun mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Bagaimanapun, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak mengaku terbabit dalam kes tembakan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Sarikei untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Dalam tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan, termasuk sebuah beg berwarna hitam, baju kelabu, seluar panjang jean berwarna biru serta topi hitam.
Mathew berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kedua-dua suspek dikesan mendaftar masuk di sebuah hotel di Sarikei pada 13 November lalu menggunakan nama suspek wanita.
“Siasatan mendapati mereka ke Sarikei dengan menaiki bas untuk menjual besi buruk.
“Pada hari kejadian, suspek lelaki mengaku keluar dari hotel untuk makan, manakala pasangannya ditinggalkan di bilik hotel.
“Suspek lelaki itu kemudian kembali ke hotel pada jam 2.30 pagi keesokan harinya sebelum kedua-duanya mendaftar keluar kira-kira setengah jam kemudian.
“Kedua-dua suspek turut mengakui bahawa individu yang kelihatan dalam rakaman CCTV di kaunter pendaftaran hotel ialah mereka,” katanya.
Pada 13 November lalu, pintu besi sebuah kafe di Jalan Repok, Sarikei dipercayai terkena tujuh tembakan.





