ARTIKEL

Bumi datar dan tembok ais

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MENARIK tentang manusia, semakin banyak teknologi digunakan untuk menjelaskan dunia, semakin banyak pula persoalan muncul yang mencabar penjelasan tersebut.

Di tengah-tengah kemajuan sains dan penerokaan angkasa lepas, muncul semula teori lama yang kelihatan ganjil, tetapi mendapat perhatian luar biasa; bumi datar, manakala Antartika merupakan tembok ais raksasa yang mengelilingi dunia.

Bagi penganut teori Bumi Datar atau Flat Earth, dunia bukan sebuah planet berbentuk sfera yang terapung di angkasa.

Beberapa asas utama berkaitan hipotesis Bumi Datar ialah penganut teori ini percaya bahawa ufuk kelihatan rata dengan kelengkungan Bumi tidak kelihatan dengan mata kasar.

Air laut tidak pula tumpah, jadi asas mereka mempersoalkan bagaimana air boleh kekal di permukaan Bumi yang bulat.

Mereka juga mendakwa kapal semakin kecil akibat perspektif, bukan kerana kelengkungan Bumi.

Sementara, putaran Bumi tidak terasa kerana Bumi berputar sekitar 1,670 km/j di khatulistiwa.

Mereka juga mempersoalkan mengapa pesawat tidak perlu sentiasa menyesuaikan penerbangan mengikut lengkungan Bumi.

Sementara itu, gambar NASA diragui dengan mendakwa gambar Bumi dari angkasa dimanipulasi.

Penganut hipotesis ini percaya, Antartika ialah tembok ais dan percaya Antartika mengelilingi dunia dan menjadi sempadan Bumi.

Bumi dikatakan berbentuk cakera dengan Kutub Utara di tengah-tengah.

Sementara, Antartika menjadi sempadan ais yang menghalang manusia daripada sampai ke kawasan di sebaliknya.

KAJIAN

Menurut kajian geografi dan penyelidikan Antartika, di sebalik tebing ais terdapat banjaran gunung yang sebahagiannya tertimbus di bawah ais.

Wujud juga lembah dan dataran

dengan landskap benua yang luas, selain terdapat tasik bawah ais antaranya Tasik Vostok yang terletak jauh di bawah lapisan ais.

Manakala, Kutub Selatan merupakan kawasan yang mempunyai stesen penyelidikan saintifik.

Lautan Selatan pula mempunyai lautan yang mengelilingi benua Antartika. Sementara, lapisan ais di sesetengah kawasan melebihi 4 kilometer ketebalannya.

Lebih menarik, ada yang mendakwa kerajaan dan kuasa besar dunia sengaja menyembunyikan rahsia tersebut.

Mereka mempersoalkan mengapa akses ke Antartika dikawal? Mengapa ekspedisi tertentu memerlukan kebenaran?

Dan apakah sebenarnya yang terdapat di sebalik hamparan ais yang begitu luas?

Dari sinilah teori konspirasi berkembang. Perjanjian Antartika 1959 sering dijadikan bahan perdebatan, seolah-olah ia merupakan mekanisme antarabangsa untuk menyembunyikan rahsia dunia.

Perjanjian tersebut bertujuan memastikan Antartika digunakan secara aman dan untuk penyelidikan saintifik.

Aktiviti pelancongan dan ekspedisi juga tidak dilarang secara menyeluruh.

Namun, persoalan yang lebih besar bukan sekadar sama ada Bumi datar atau bulat, persoalannya ialah mengapa sebahagian manusia semakin sukar mempercayai penjelasan institusi, kerajaan dan komuniti saintifik?

KONSPIRASI

Dalam era maklumat tanpa sempadan, ketidakpercayaan mudah bertukar menjadi bahan bakar konspirasi.

Setiap imej satelit yang dipersoalkan, setiap ekspedisi yang tidak difahami dan setiap penjelasan rasmi yang dianggap tidak lengkap boleh membentuk naratif alternatif.

Media sosial pula menjadikan dakwaan yang belum dibuktikan, kelihatan seolah-olah mempunyai asas kukuh apabila diulang berkali-kali.

Dari sudut saintifik, bukti bahawa Bumi berbentuk hampir sfera sangat luas.

Gerhana bulan, perubahan kedudukan bintang mengikut latitud, pelayaran mengelilingi dunia dan pengukuran geodesi semuanya menyokong kesimpulan tersebut.

Malah, bentuk dan ukuran Bumi boleh diuji melalui eksperimen yang tidak memerlukan seseorang mempercayai mana-mana agensi angkasa.

Bagaimanapun, Antartika memang menyimpan banyak misteri saintifik yang sebenar.

Tasik Vostok terletak di bawah lapisan ais yang tebal, manakala banjaran gunung, lembah dan ekosistem mikroorganisme masih menjadi subjek penyelidikan.

Hakikat bahawa masih banyak perkara belum diketahui tidak bermaksud dakwaan tentang benua tersembunyi atau tamadun di sebalik tembok ais mempunyai asas.

Persoalan ini juga membawa kita kepada ramalan tentang masa depan.

TEKNOLOGI

Dalam dekad mendatang, teknologi kecerdasan buatan, imejan satelit beresolusi tinggi dan sistem pemetaan bawah ais dijangka membuka lebih banyak rahsia geologi Antartika.

Penemuan baharu mungkin mengubah pemahaman manusia tentang sejarah iklim, kehidupan mikroorganisme dan perubahan persekitaran global.

Pada masa yang sama, teori konspirasi mungkin berkembang lebih pantas daripada kemampuan masyarakat menilai kebenaran.

Video yang dijana Al, imej yang dimanipulasi dan naratif sensasi boleh menjadikan sesuatu yang palsu kelihatan meyakinkan.

Cabaran masa depan bukan lagi sekadar mencari maklumat, tetapi menentukan maklumat mana yang boleh dipercayai.

Akhirnya, mungkin persoalan paling penting bukanlah apakah yang tersembunyi di sebalik tembok ais, tetapi apakah yang sedang berlaku dalam pemikiran manusia sendiri.

Adakah kita benar-benar mencari kebenaran, atau sekadar mencari sesuatu yang mengesahkan perkara yang sudah kita percaya?

Sains tidak mendakwa mengetahui segala-galanya.

Namun, kekuatannya terletak pada kesediaan untuk diuji, dipersoalkan dan diperbetul apabila bukti baharu muncul.

Barangkali itulah tembok sebenar yang perlu kita runtuhkan; tembok antara rasa ingin tahu dengan keengganan menerima bukti.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Gillian Raih Emas Acara Tenpin Boling Asia

KUALA LUMPUR: Pemain boling negara Gillian Lim merangkul pingat emas acara perseorangan wanita pada Kejohanan Tenpin Boling Asia 2026 selepas mencatatkan jumlah keseluruhan 1,368 jatuhan

Pendidikan seksual perlu diperluas kepada remaja

MUKAH: Sebanyak 1,770 kes kehamilan remaja direkodkan di Sarawak pada 2025, mendorong usaha memperkukuh pendidikan seksual dan advokasi menerusi Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi