KUCHING: Sarawak mengalu-alukan kerjasama dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk meneroka sumber gas asli negeri dan membangunkan industri hiliran yang mampu menghasilkan produk bernilai tinggi bagi pasaran antarabangsa.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kekayaan sumber gas asli negeri membuka peluang kerjasama strategik dengan UAE, khususnya dalam pembangunan industri berasaskan gas dan penghasilan produk baharu.
Menurutnya, gas asli bukan sahaja boleh digunakan sebagai sumber tenaga, malah berpotensi diproses menjadi pelbagai produk industri yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran global.
“Kita masih mempunyai banyak sumber gas di Sarawak dan apa yang perlu dilakukan ialah meneroka sumber tersebut. Di sinilah kita boleh bekerjasama dengan rakan kita dari UAE.
“Marilah kita bekerjasama untuk membangunkan pengeluaran gas,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-75 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) serta Anugerah Usahawan Terbaik Sarawak (EOYS) 2026 di sini, malam tadi.
Ujarnya, Sarawak sudah memulakan langkah memanfaatkan sumber gas asli melalui pengeluaran metanol, sekali gus membuktikan potensi bahan mentah tempatan untuk dikembangkan kepada industri hiliran.
“Perancangan seterusnya turut memberikan tumpuan kepada pembangunan metanol hijau dan ammonia hijau yang mempunyai potensi pasaran, khususnya dalam sektor perkapalan antarabangsa.
“Malah, industri perkapalan kini semakin meneroka penggunaan bahan api alternatif bagi mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong peralihan kepada sumber tenaga lebih bersih,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan industri hiliran akan membolehkan Sarawak memperoleh nilai ekonomi lebih tinggi daripada sumber gas asli, berbanding bergantung kepada penjualan bahan mentah semata-mata.
“Usaha itu juga dijangka membuka peluang dalam sektor pemprosesan, teknologi dan perkhidmatan sokongan, selain memperluas penyertaan Sarawak dalam pasaran tenaga antarabangsa,” ujarnya.
Sebelum ini, Sarawak turut mencadangkan penubuhan pejabat di Abu Dhabi yang akan diuruskan bersama Sarawak Energy Berhad dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bagi menyelaras projek tenaga yang dirancang bersama pihak UAE.
Cadangan tersebut merangkumi kerjasama dalam sektor tenaga solar dan gas, dengan beberapa projek masih berada pada peringkat kajian kebolehlaksanaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan Sarawak turut mengutamakan pelaburan teknologi yang mampu menjana pekerjaan berkualiti, termasuk dalam pembangunan ekonomi berasaskan data pintar.
“Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan selektif terhadap pelaburan pusat data kerana kemudahan yang hanya berfungsi menyimpan maklumat tidak semestinya memberikan pulangan ekonomi yang setimpal kepada rakyat.
“Orang bercakap mengenai pusat data kerana ia menggunakan tenaga yang banyak, tetapi Sarawak bersikap selektif. Bagi saya, pusat data hanyalah sebuah gudang untuk menyimpan data, tetapi data itu mesti menghasilkan pekerjaan,” tegasnya.
Beliau turut berpandangan perkembangan kecerdasan buatan (AI) berpotensi mengubah peranan pusat data konvensional dalam tempoh tujuh tahun akan datang apabila teknologi pemprosesan dan aliran maklumat terus berkembang.
Sementara itu, EOYS 2026 yang memasuki penganjuran ke-21 sejak diperkenalkan pada 2004 memberi pengiktirafan kepada usahawan yang menunjukkan kecemerlangan dalam kepimpinan perniagaan serta sumbangan terhadap pembangunan ekonomi Sarawak.
Enam penerima anugerah bagi kategori Usahawan Unggul tahun ini ialah Jeffrey Sia Tze Yong, Ling Kie King, Ngieng Ping Sing, Hajah Fitriah Haji Rahbi, Phang Tze Shing dan Ali Azis Salleh.
Program anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dengan kerjasama SCCI dan Ernst & Young itu memberikan pengiktirafan kepada lebih 80 usahawan sejak diperkenalkan.
Hadir sama ialah Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom; Duta Besar UAE ke Malaysia, Dr Mubarak Saeed Al Dhaheri; Presiden Kehormat Seumur Hidup SCCI, Datuk Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg dan Presiden SCCI, Datuk Philip Ting Ding Ing.




