ARTIKEL

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak

Pergerakan Najib bukan sekadar solat Jumaat – Jabatan Penjara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pergerakan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selama hampir lapan jam pada Jumaat bukan sekadar untuk menunaikan solat Jumaat, sebaliknya turut membabitkan pemeriksaan kesihatan, pengajian al-Quran dan sesi kaunseling.

Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan beliau berada di luar kediamannya dari jam 10.25 pagi hingga 6.25 petang pada 13 November lalu.

Menurut kenyataan itu, Najib terlebih dahulu menghadiri temu janji susulan di Jabatan Ortopedik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

“Beliau kemudian dibawa ke Penjara Kajang untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Penjara Kajang.

“Selain itu, beliau turut mengikuti sesi pengajian al-Quran bersama ustaz daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Najib juga menghadiri sesi kaunseling bersama Pegawai Psikologi Penjara Kajang sebelum semua urusan berkenaan selesai,” katanya.

Jabatan Penjara juga memaklumkan beliau bertolak pulang dari Penjara Kajang pada jam 5.50 petang dan tiba di kediamannya di Jalan Langgak Duta pada jam 6.25 petang.

Semua pergerakan berkenaan, katanya, dilaksanakan mengikut urusan dan keperluan yang ditetapkan, selain tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP), syarat tahanan rumah serta kawalan dan seliaan Jabatan Penjara Malaysia.

Jabatan Penjara menegaskan aspek rawatan kesihatan, aktiviti keagamaan serta program pemulihan dan intervensi adalah sebahagian daripada pengurusan individu yang sedang menjalani hukuman.

Pada masa yang sama, semua urusan dilaksanakan secara teratur serta mematuhi ketetapan yang berkuat kuasa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU