SARATOK: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Datuk Friday Belik menafikan dakwaan bahawa projek pembangunan di kawasan itu diagihkan secara tidak adil.
Tegasnya, beliau sentiasa berusaha memastikan semua lapisan masyarakat dan rumah panjang mendapat manfaat secara menyeluruh.
Menurutnya, sepanjang lebih empat tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat, beliau berusaha sedaya upaya memenuhi permohonan pembangunan daripada lebih 260 rumah panjang, selain sekolah dan rumah ibadat, tanpa mengira sokongan politik penduduk.
“Dengan peruntukan kewangan yang ada, saya mempunyai rekod dan maklumat mengenai segala usaha serta projek yang telah dilaksanakan sepanjang lebih empat tahun menjadi wakil rakyat.
“Namun, terdapat berita palsu yang mendakwa saya tidak adil dalam mengagihkan projek pembangunan.
“Sedangkan, saya tidak pernah mengira penduduk rumah panjang mana yang mengundi kita atau sebaliknya. Malah, rumah panjang yang jelas tidak mengundi kita dahulu turut menerima manfaat pembangunan yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parti Demokratik Progresif (PDP) Krian yang dirasmikan oleh Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing, di Rumah Dayak, dekat sini, hari ini.
Menurut Friday, sebanyak 206 rumah panjang daripada keseluruhan lebih 260 rumah panjang di kawasan Krian menerima projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dalam tempoh berkenaan.
Katanya, pembangunan turut melibatkan sekolah, rumah ibadat, persatuan dan kelab yang sentiasa diberi perhatian bagi memastikan keperluan masyarakat setempat tidak terabai.
Selain itu, menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), sebanyak 92 projek diluluskan dan kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Justeru, saya berharap rakyat memahami bahawa terdapat proses dan garis panduan yang perlu dipatuhi oleh agensi pelaksana sehingga menyebabkan sesetengah projek mengambil masa untuk disiapkan.
“Tiada projek yang diumumkan atau diluluskan hari ini boleh disiapkan pada keesokan harinya. Setiap projek memerlukan masa serta melalui proses tertentu sebelum dapat dilaksanakan,” jelasnya.
Mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13, Friday berkata beliau bersama jentera parti kini bersedia memperkemas strategi bagi memastikan kerusi DUN Krian kekal di tangan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau turut mengakui bahawa antara keutamaan sepanjang empat tahun memimpin PDP Krian ialah memperkukuh semula struktur dan gerak kerja parti yang sebelum ini berdepan pelbagai kelemahan.
Katanya, usaha berkenaan membuahkan hasil apabila PDP Krian berjaya mengaktifkan semula gerakan parti serta menubuhkan 10 cawangan berdasarkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang kini aktif.
“Kesemua cawangan bukan sahaja aktif menjalankan gerak kerja parti, malah turut berusaha menambah keahlian baharu dan mendekati rakyat.
“Tugas ini juga dipermudahkan dengan pelantikan Senator Pele Peter Tinggom sebagai Ahli Dewan Negara yang menjadi satu lagi platform dan kekuatan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat, bukan sahaja di Krian, malah di Parlimen Saratok,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda PDP Krian, Reza Nalang, dalam ucapan terdahulu menegaskan bahawa pengalaman serta khidmat bakti Friday masih diperlukan bagi meneruskan agenda pembangunan dan memajukan kawasan Krian.




