SARATOK: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing, mengingatkan semua ahli parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, supaya bersikap jujur dan memberi sokongan penuh kepada calon yang bakal diumumkan bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13.
Beliau menegaskan bahawa semua ahli parti komponen GPS perlu menunjukkan komitmen dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi serta tidak melakukan tindakan ‘mencantas’ calon yang dipilih untuk mewakili gabungan itu.
“Mesti mahu jujur dengan sokongan penuh kepada GPS. Jangan setengah-setengah,” katanya ketika merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat PDP Krian di Rumah Dayak, dekat sini, hari ini.
Tiong berkata, gesaan itu turut ditujukan kepada seluruh ahli PDP Krian supaya sentiasa berpegang kepada prinsip kejujuran dan tidak mengamalkan sebarang bentuk penipuan demi menjaga kepentingan rakyat serta masa depan Bumi Kenyalang.
Menyentuh calon PDP, termasuk bagi kerusi DUN Krian, beliau berharap Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom, dan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Friday Belik, dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dengan jentera parti di peringkat akar umbi.
Katanya, pengumuman rasmi calon bagi PRU Sarawak ke-13 bukan di bawah bidang kuasanya kerana perkara itu akan dibuat oleh Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, apabila tiba masanya.

“Saya tidak boleh umum calon. Sampai masa nanti Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan umum, tetapi Friday dan Pele mesti bekerja keras menjalankan amanah.
“Kerja kuat bukan sahaja untuk PRU Sarawak ke-13, tetapi juga pilihan raya Parlimen akan datang,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara kepimpinan parti, bakal calon dan jentera akar umbi bagi memastikan kekuatan GPS terus diperkukuh menjelang pilihan raya akan datang.
Untuk rekod, kerusi DUN Krian pada PRU Sarawak ke-12 dimenangi Friday dengan majoriti 932 undi.
Setakat ini, jumlah pengundi di DUN Krian ialah 19,070 orang.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr. Penguang Manggil serta isteri Datin Monica Ukong, Ahli Dewan Negara Senator Pele Peter Tinggom dan penyandang kerusi DUN Krian Datuk Friday Belik serta isteri Datin Ani Isek turut hadir.



