ARTIKEL

Festival budaya pacu sasaran 5.1 juta pelawat ke Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penganjuran festival kebudayaan berpotensi menjadi antara pemacu utama pertumbuhan industri pelancongan Sarawak bagi mencapai sasaran 5.1 juta ketibaan pelawat serta RM14 bilion hasil pelancongan menjelang 2027.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kekayaan seni, budaya dan warisan masyarakat peribumi Borneo mempunyai daya tarikan tersendiri yang mampu menarik lebih ramai pelawat dalam dan luar negara.

“Oleh itu, penganjuran Festival Peribumi Borneo (BIF) 2026 bukan sahaja memperkenalkan keunikan budaya masyarakat tempatan, malah membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat melalui sektor penginapan, pengangkutan, makanan, kraftangan dan perkhidmatan kreatif.

“Malah, Sarawak juga sedang memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan budaya dan acara antarabangsa, dengan sasaran 5.1 juta ketibaan pelawat serta RM14 bilion hasil pelancongan pada tahun 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis perasmian Festival Peribumi Borneo (BIF) di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini malam tadi.

Festival itu berlangsung dari 12 hingga 15 November.

Pada masa sama, Abang Johari memberitahu bahawa festival yang menghimpunkan pelbagai komuniti, penggiat seni dan pengamal budaya itu mempunyai potensi untuk berkembang sebagai platform kebudayaan bertaraf antarabangsa.

Jelasnya, penyertaan kumpulan kebudayaan dari Sabah, Labuan dan Indonesia menerusi program seperti Echoes of Borneo turut membuka ruang pertukaran budaya serta kerjasama dalam pembangunan industri kreatif serantau.

“BIF mempunyai potensi untuk berkembang sebagai platform kebudayaan bertaraf antarabangsa yang memperkenalkan keunikan masyarakat peribumi Borneo kepada dunia,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata, kepelbagaian seni persembahan, muzik tradisional, kraftangan dan warisan komuniti menjadi kekuatan tersendiri yang boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan budaya.

Menurutnya, usaha memajukan pelancongan budaya juga perlu memastikan komuniti tempatan menjadi penerima manfaat utama, khususnya pengamal budaya, pemuzik tradisional, penenun, pengukir dan pengusaha kraf.

“Kita mahu masyarakat peribumi, termasuk komuniti yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman, turut mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata, warisan budaya tidak seharusnya dilihat sebagai bahan pameran semata-mata, sebaliknya perlu dikembangkan secara bertanggungjawab sebagai sumber ilmu, kreativiti dan peluang keusahawanan.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan bahawa pembangunan industri kreatif perlu disokong melalui peningkatan mutu produk, pengukuhan penjenamaan serta penggunaan pemasaran digital bagi membolehkan hasil seni tempatan menembusi pasaran yang lebih luas.

“Justeru, saya berharap festival ini terus menjadi wadah memperkenalkan kekayaan budaya Borneo kepada masyarakat antarabangsa, di samping meningkatkan sumbangan industri kreatif kepada ekonomi Sarawak,” katanya.

BERITA LAIN

Warisan 34 etnik asas perpaduan Sarawak

KUCHING: Kepelbagaian 34 kumpulan etnik di Sarawak yang memiliki bahasa, adat resam dan warisan tersendiri perlu terus dipelihara sebagai kekuatan identiti negeri serta asas perpaduan

Beting Maro jadi tumpuan

KAWASAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro mempunyai keunikan tersendiri dalam landskap politik Sarawak. Keunikan itu bukan sahaja kerana sejarah panjang penguasaan parti Pesaka Bumiputera

BERITA TERBARU

Warisan 34 etnik asas perpaduan Sarawak

KUCHING: Kepelbagaian 34 kumpulan etnik di Sarawak yang memiliki bahasa, adat resam dan warisan tersendiri perlu terus dipelihara sebagai kekuatan identiti negeri serta asas perpaduan