KUCHING: Kepelbagaian 34 kumpulan etnik di Sarawak yang memiliki bahasa, adat resam dan warisan tersendiri perlu terus dipelihara sebagai kekuatan identiti negeri serta asas perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keharmonian masyarakat yang dibina atas asas sikap saling menghormati dan memahami perbezaan ialah keistimewaan yang perlu dipertahankan seiring dengan kemajuan pembangunan negeri.
Menurutnya, kekayaan budaya masyarakat Iban, Melayu, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu, Penan dan komuniti lain membentuk khazanah warisan yang menjadi kebanggaan Sarawak.
“Sarawak mempunyai 34 kumpulan etnik yang diiktiraf, dengan setiap komuniti memiliki sejarah, tradisi dan khazanah budaya tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis perasmian Festival Peribumi Borneo (BIF) 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini, malam tadi.
Festival itu berlangsung dari 12 hingga 15 November.
Tambah Abang Johari, kepelbagaian warisan itu dapat dilihat melalui keunikan Pua Kumbu masyarakat Iban, Keringkam dan Songket Sarawak, selain seni ukiran, muzik tradisional serta tarian masyarakat pelbagai etnik.
Jelasnya, perbezaan bahasa, adat dan budaya tidak pernah menghalang masyarakat Sarawak daripada membina kehidupan bersama dalam suasana aman dan harmoni.
“Inilah nilai sebenar Segulai Sejalai, iaitu hidup bersama dalam keharmonian dan membina masa hadapan tanpa mengetepikan identiti masing-masing,” tegasnya.
Selain itu, beliau berkata, BIF menjadi wadah penting untuk menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang menerusi persembahan, pameran dan interaksi kebudayaan.
Menurutnya, usaha memelihara warisan perlu dilaksanakan secara berterusan, termasuk dengan memanfaatkan teknologi digital bagi mendokumentasikan bahasa, muzik, tarian, seni dan adat tradisional masyarakat peribumi.
“Teknologi boleh membantu kita mengumpulkan dan memproses maklumat, tetapi pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan masyarakat tetap menjadi asas kepada pemeliharaan warisan yang sebenar,” tambahnya.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan, usaha pendigitalan warisan perlu melibatkan komuniti yang memiliki pengetahuan berkaitan, khususnya golongan tua dan pengamal budaya tradisional, bagi memastikan ketepatan maklumat serta penghormatan terhadap adat dan sensitiviti masyarakat.
Katanya, golongan muda juga perlu diberikan lebih banyak peluang mempelajari kemahiran tradisional melalui latihan, bengkel dan program perantisan supaya warisan itu dapat diteruskan kepada generasi seterusnya.
“Pembangunan Sarawak ke arah wilayah maju menjelang 2030 perlu berjalan seiring dengan pemeliharaan identiti dan nilai budaya masyarakat agar kemajuan tidak menyebabkan generasi akan datang melupakan akar warisan sendiri,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap BIF terus berkembang sebagai platform memperkukuh perpaduan, memelihara khazanah budaya dan mengangkat keunikan masyarakat peribumi Borneo ke persada antarabangsa.




