ARTIKEL

WARISAN SARAWAK...Abdul Karim bersama tetamu kehormat lain menyempurnakan simbolik perasmian Festival Peribumi Borneo (BIF) 2026. | FOTO: MOHD ALIF NONI

RM92 juta perkasa seni dan budaya Sarawak menerusi Belanjawan 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak memperuntukkan RM92 juta menerusi Belanjawan Negeri 2027 bagi memperkasa pembangunan seni persembahan, perusahaan kraf tempatan serta infrastruktur industri kreatif, sekali gus mengangkat warisan budaya sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan ekonomi negeri.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan itu merangkumi RM14 juta kepada Majlis Seni Sarawak (MSS), RM8 juta kepada Majlis Kraf Sarawak (SCC) serta RM70 juta bagi mengubah bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama menjadi Pusat Seni Persembahan Sarawak.

“Ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan seni dan budaya tidak sekadar dipelihara sebagai warisan turun-temurun, sebaliknya berkembang sebagai bidang profesional yang mampu menjana pendapatan.

PENUH KEBUDAYAAN…Antara kumpulan penari yang membuat persembahan pada Festival Peribumi Borneo (BIF) 2026. | FOTO: MOHD ALIF NONI

“Peruntukan ini juga penting untuk menyokong pembangunan bakat, penghasilan karya dan penganjuran program yang mengetengahkan identiti serta keunikan seni budaya Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis perasmian Festival Peribumi Borneo (BIF) di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini malam tadi. Festival yang berlangsung dari 12 hingga 15 November.

Mengulas lanjut mengenai peruntukan itu, Abang Johari berkata, sebanyak RM8 juta diperuntukkan kepada SCC bagi memperkasa pengusaha kraf tempatan dan mengkomersialkan hasil warisan masyarakat peribumi.

“Kita mahu hasil kraftangan Sarawak bukan sahaja terus dipelihara sebagai warisan, tetapi turut berkembang menjadi produk kreatif berkualiti yang mempunyai nilai ekonomi dan pasaran lebih luas,” tegasnya.

Peruntukan RM14 juta kepada Majlis Seni Sarawak pula, katanya, bertujuan memperkasa pembangunan seni persembahan tempatan dan penting untuk menyokong pembangunan bakat, penghasilan karya serta penganjuran program yang mengetengahkan identiti dan keunikan seni budaya Sarawak.

Pada masa sama, beliau berkata peruntukan RM70 juta bagi pembangunan Pusat Seni Persembahan Sarawak di bangunan DUN lama dijangka menyediakan kemudahan lebih menyeluruh untuk kegiatan persembahan, latihan serta pengembangan bakat tempatan.

Menurutnya, kemudahan berkenaan penting dalam membina ekosistem industri kreatif yang membolehkan penggiat seni mengembangkan potensi masing-masing secara lebih tersusun dan berdaya maju.

“Peruntukan tersebut memperlihatkan bahawa seni dan budaya bukan lagi sekadar kegiatan sampingan, tetapi sebahagian daripada ekosistem pembangunan ekonomi dan sosial wilayah,” tambahnya.

Selain itu, Abang Johari berkata, pembangunan Sarawak ke arah wilayah maju menjelang 2030 perlu memastikan kemajuan ekonomi berjalan seiring dengan pemeliharaan identiti, nilai dan warisan budaya masyarakat.

“Pembangunan tidak seharusnya menyebabkan kita melupakan akar budaya, sebaliknya perlu menyediakan ruang supaya warisan tersebut terus berkembang mengikut perubahan zaman,” tegasnya.

Menurutnya, menerusi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030), Kerajaan Sarawak memberikan penekanan kepada pembangunan ekonomi mampan, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar, dengan seni serta budaya memainkan peranan penting dalam menyokong pelancongan lestari dan memperkukuh identiti negeri.

“Dalam konteks ini, seni, budaya dan warisan mempunyai peranan penting untuk menyokong pelancongan lestari, memperkukuh identiti wilayah serta mewujudkan peluang ekonomi kepada masyarakat setempat,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap pelaburan berkenaan dapat memperkukuh ekosistem seni dan budaya Sarawak, sekali gus memastikan warisan masyarakat terus dipelihara serta menjadi sumber pertumbuhan ekonomi dan kebanggaan generasi akan datang.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Morshidi Fredrick serta Ketua Pegawai Eksekutif MSS Dr Suffian Jalet.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU