ARTIKEL

JBALB raih pensijilan ISO 9001:2015, tanda sistem pengurusan berkualiti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak menerima pengiktirafan menerusi penganugerahan Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 sebagai bukti pelaksanaan sistem pengurusan jabatan yang memenuhi piawaian kualiti yang ditetapkan.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata pengiktirafan itu mencerminkan usaha serta komitmen warga JBALB dalam memastikan sistem pengurusan jabatan dilaksanakan secara sistematik dan berkualiti.

Beliau berkata pencapaian tersebut turut membuktikan pengurusan JBALB mendapat pengiktirafan badan pensijilan profesional, iaitu NIOSH Certification Sdn Bhd, pada 17 September lepas.

“Saya juga cukup gembira apabila dimaklumkan bahawa JBALB telah dianugerahkan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015.

“Ini merupakan satu pengiktirafan terhadap sistem pengurusan yang dilaksanakan oleh pihak jabatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi JBALB Sarawak 2026 yang turut meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan jabatan itu bertemakan ‘Sedekad Bersama JBALB’.

Menurut Julaihi, sepanjang sedekad penubuhannya, JBALB telah mengharungi pelbagai cabaran dan meraih kejayaan dalam usaha menyampaikan perkhidmatan bekalan air kepada rakyat.

Beliau berkata, beliau turut menyaksikan sendiri perkembangan serta transformasi JBALB sejak menerajui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.

“Berdirinya JBALB hingga hari ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa dedikasi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada semua warga kerja, barisan hadapan hinggalah kepimpinan tertinggi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memperoleh pensijilan berkenaan, sekali gus berharap pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin penyampaian perkhidmatan yang lebih sistematik dan berkualiti.

Majlis berkenaan turut meraikan seramai 39 pesara JBALB yang bersara pada 2026 serta 123 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun penilaian 2025.

Julaihi menjelaskan bahawa kejayaan penerima APC membuktikan kesungguhan warga jabatan bekerja sebagai satu pasukan dalam mencapai matlamat yang ditetapkan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pesara atas jasa dan sumbangan mereka dalam memastikan rakyat mendapat bekalan air yang diperlukan.

Mengulas cabaran masa hadapan, beliau menegaskan jabatan itu perlu terus memastikan bekalan air mencukupi, stabil dan berkualiti seperti yang diharapkan Kerajaan Sarawak.

Rakam kenangan: warga JBLAB merakam kenangan bersama tetamu terhormat.

Ujarnya, penyampaian perkhidmatan jabatan bukan sahaja tertumpu kepada pelaksanaan projek, malah turut merangkumi kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan pelanggan, khususnya berkaitan aduan serta maklum balas rakyat.

Sehubungan itu, beliau menyeru warga JBALB supaya sentiasa peka terhadap suara rakyat dan menyantuni keperluan mereka dengan penuh hemah serta empati, selaras dengan prinsip ‘An Honour to Serve’.

Beliau turut menggalakkan warga jabatan mengambil pendekatan proaktif dengan turun padang bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai isu, aduan dan perkembangan projek yang dilaksanakan.

Julaihi berharap majlis apresiasi berkenaan menjadi landasan untuk terus memperkukuh kerjasama dalam kalangan warga JBALB, agensi berkaitan serta Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan pada masa hadapan.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datu Jafri Lias; Pemangku Pengarah JBALB Sarawak, Ir. Ts Tamida Da’adi; dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd, Malseni Jamal.

BERITA LAIN

Hotel antarabangsa perkukuh industri hospitaliti Sarawak

KUCHING: Penambahan hotel bertaraf antarabangsa dijangka meningkatkan keupayaan Kuching menampung pertambahan pelancong serta menganjurkan lebih banyak acara antarabangsa. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang

AirBorneo sasar laluan ke Bangkok, Korea Selatan

KUCHING: AirBorneo Airways Sdn Bhd (AirBorneo) merancang memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa ke Bangkok, Thailand serta Seoul dan Pulau Jeju di Korea Selatan, dengan sasaran pelaksanaan

BERITA TERBARU