KUCHING: Penambahan hotel bertaraf antarabangsa dijangka meningkatkan keupayaan Kuching menampung pertambahan pelancong serta menganjurkan lebih banyak acara antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan kemudahan penginapan berkualiti tinggi penting bagi menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, khususnya ketika Sarawak memperluas hubungan penerbangan dengan destinasi luar negara.
Menurutnya, sebuah hotel antarabangsa sedang dibina di Jalan Ban Hock, manakala satu lagi projek pembangunan hotel dilaksanakan berhampiran bekas pasar raya Ting Ting.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran laluan penerbangan sulung AirBorneo bagi sektor Kuching-Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini, hari ini.
Pertambahan hotel itu turut melengkapi kemudahan persidangan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang sedang diperluas bagi meningkatkan keupayaan Sarawak menganjurkan acara antarabangsa.
Beliau berkata, pembangunan infrastruktur hospitaliti perlu bergerak seiring peluasan rangkaian penerbangan bagi memastikan Sarawak bersedia menerima lebih ramai pelawat dari dalam dan luar negara.
Selain pelancongan konvensional, Sarawak turut berpotensi mengembangkan pelancongan perubatan menerusi kemudahan hospital swasta yang mampu menarik pesakit dari negara jiran.
Justeru, gabungan kemudahan penginapan, kesihatan, penerbangan dan pusat persidangan mampu meningkatkan daya saing Kuching sebagai destinasi pelancongan, perniagaan serta penganjuran acara antarabangsa.


