KUCHING: Kemahiran menghasilkan kasut buatan tangan berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu kepada masyarakat luar bandar, termasuk penduduk rumah panjang, menerusi latihan dan bengkel kemahiran.
Ketua Bahagian Warisan dan Industri Kreatif, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dr Elena Gregoria Chai berkata, latihan itu boleh memanfaatkan kepakaran tenaga pengajar dan graduan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) yang mempunyai kemahiran khusus dalam pembuatan kasut.
Menurutnya, bengkel berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat mempelajari teknik pembuatan kasut, malah membuka ruang kepada pengusaha kraf tempatan berkongsi kepakaran.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan pada Majlis Pelancaran Sarawak Sole Story 2026 di sini, hari ini.

Elena berkata, kementerian telah menyalurkan kira-kira RM249,000 bagi menyokong pelaksanaan 20 bengkel kraftangan sepanjang tahun ini menerusi Dana Mudahcara Warisan dan Kesenian Sarawak.
Bengkel itu turut dilaksanakan di kawasan luar bandar, termasuk rumah panjang, dengan penyertaan kira-kira 30 penduduk bagi setiap sesi selama tiga hari.
“Selepas mengikuti latihan, peserta boleh menghasilkan produk sendiri dan menjualnya. Inilah yang kita mahu supaya kemahiran dipelajari dapat memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan penggunaan motif tempatan seperti batik Sarawak, pua kumbu dan corak tradisional lain dalam rekaan kasut bagi menghasilkan produk yang mempunyai identiti tersendiri.
Menurutnya, warisan budaya daripada 34 kumpulan etnik di Sarawak merupakan kelebihan yang boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk kreatif yang unik dan berdaya saing.
Tambahnya, pembuatan kasut memerlukan kesabaran, ketelitian, pengetahuan teknikal dan pengalaman bagi memastikan produk yang dihasilkan berkualiti.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan Sarawak Sole Story 2026 sebagai platform untuk mengiktiraf usaha pelajar, graduan dan tenaga pengajar dalam menguasai kemahiran berkenaan.

“Kejayaan sebenar bukan hanya menghasilkan produk yang cantik, tetapi melahirkan individu yang berkemahiran, berpengetahuan dan yakin terhadap kebolehan sendiri,” katanya.
Beliau berharap penganjuran program itu dapat memperkukuh kerjasama antara institusi latihan, penggiat industri dan komuniti, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak menjadikan kemahiran kreatif sebagai sumber pendapatan.
Program selama tiga hari hingga Ahad itu mengetengahkan hasil rekaan kasut pelajar dan graduan Program Sijil Seni Pembuatan Kasut CENTEXS, melibatkan graduan kumpulan pertama hingga ketiga serta pelajar kumpulan keempat dan kelima.
Pameran itu turut memberi peluang kepada pengunjung mengenali teknik, bahan dan proses pembuatan kasut buatan tangan serta berinteraksi dengan peserta.
Antara pengisian utama ialah persembahan fesyen bermuzik pada Sabtu, pukul 2 petang dan Ahad, pukul 12 tengah hari, yang menampilkan kasut hasil rekaan peserta program berkenaan.
Selain itu, sesi perkongsian dan ceramah pembangunan belia turut diadakan bagi menggalakkan generasi muda membina keyakinan diri, meneroka peluang kerjaya serta menceburi bidang keusahawanan kreatif.



