KUCHING: AirBorneo Airways Sdn Bhd (AirBorneo) merancang memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa ke Bangkok, Thailand serta Seoul dan Pulau Jeju di Korea Selatan, dengan sasaran pelaksanaan secara berperingkat mulai tahun depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Bangkok antara destinasi yang diberi perhatian menerusi perancangan penambahan pesawat syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak itu.
“Apabila kuasa berkenaan dikembalikan kepada saya, Bangkok antara destinasi yang akan kita pertimbangkan dengan segera.
“Perkara ini juga sudah dibincangkan kerana mereka sedang mendapatkan hak pendaratan di sana. Saya percaya laluan itu berpotensi direalisasikan pada suku pertama tahun depan, sekitar April atau Mei,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran dan pelepasan penerbangan sulung AirBorneo bagi laluan Kuching-Jakarta (MY396/MY397) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, hari ini.

Selain Bangkok, Abang Johari berkata, Seoul dan Pulau Jeju turut dikenal pasti sebagai destinasi berpotensi untuk peluasan rangkaian penerbangan AirBorneo, dengan pelaksanaan disasarkan pada 2027.
Katanya, AirBorneo kini mempunyai dua pesawat dan merancang menambah tiga lagi bagi meningkatkan saiz armadanya kepada sekurang-kurangnya lima pesawat.
Penambahan armada itu penting bagi membolehkan syarikat berkenaan meneroka destinasi yang mempunyai potensi pelancongan tinggi, termasuk pelancongan perubatan.
“Pada peringkat awal, kita melihat ramai doktor melakukan perjalanan ke Jakarta. Kita juga mempunyai hospital swasta sendiri dan saya percaya perkembangan ini akan memberikan pulangan kepada industri pelancongan serta perkhidmatan kita,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, peluasan rangkaian penerbangan AirBorneo turut menyokong persiapan Sarawak sebagai tuan rumah Sukan SEA, khususnya dalam menyediakan kemudahan pengangkutan udara kepada atlet, pegawai dan pengunjung antarabangsa.
Katanya, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah sedang mengadakan rundingan bagi membolehkan AirBorneo dipilih sebagai antara syarikat penerbangan rasmi temasya sukan serantau itu.



