SARIKEI: Tanah yang belum dibangunkan di Sarawak berpotensi menjana pendapatan baharu kepada pemiliknya menerusi perdagangan karbon, khususnya kawasan yang sudah disukat tetapi belum diusahakan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, potensi tanah berkenaan perlu dikenal pasti melalui kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Sarawak bagi membolehkan pemilik menikmati manfaat ekonomi pada masa depan.
Menurutnya, tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS) yang belum diterokai boleh dinilai bagi menentukan kesesuaiannya untuk aktiviti perdagangan karbon.
Beliau berkata, Sarawak mempunyai kira-kira 1.2 juta hektar tanah yang sudah disukat, manakala hampir sejuta hektar daripadanya telah diwartakan.
Bagaimanapun, hanya sekitar 10 hingga 15 peratus kawasan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 18 sudah dibangunkan oleh pemiliknya.
Dalam usaha mempercepat penyukatan tanah, kerajaan menyediakan peruntukan RM70 juta setahun, termasuk RM40 juta bagi operasi lapangan dan RM30 juta untuk pengambilan 367 kakitangan baharu Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTS, Ulu Sarikei (Sare) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak, di sini, hari ini.
Tambahnya, lebih 20 program penyerahan hak milik tanah telah dilaksanakan di seluruh Sarawak sepanjang tahun ini, tidak termasuk program yang disempurnakan Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.


