DEBAK: Pendidikan awal bukan sekadar persediaan ke alam persekolahan, malah menjadi asas pembentukan intelektual, sahsiah dan keyakinan diri kanak-kanak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr. Mohammad Razi Sitam berkata, setiap kanak-kanak mempunyai keistimewaan dan potensi tersendiri yang perlu dicungkil menerusi pendidikan awal berkualiti.
Menurutnya, kejayaan kanak-kanak tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kreativiti, kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan pembentukan sahsiah.
Setiap pencapaian anak-anak, biarpun kecil, wajar diraikan sebagai langkah awal menuju kejayaan lebih besar.
“Majlis apresiasi seperti ini bukan sekadar acara penyampaian sijil dan anugerah, tetapi pengiktirafan terhadap usaha, perkembangan dan pencapaian anak-anak sepanjang mengikuti pendidikan awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) dan Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Betong di Dewan Perpaduan Debak, Jumaat.

Majlis itu turut meraikan dua fasa penting pendidikan awal, iaitu peralihan kanak-kanak TASKA ke TABIKA serta murid TABIKA yang bakal memasuki Tahun Satu.
Peralihan itu memberi peluang kepada kanak-kanak meneroka pengalaman pembelajaran lebih luas, membina keyakinan diri dan meningkatkan kemahiran komunikasi serta interaksi.
Beliau berharap kanak-kanak yang bakal memasuki Tahun Satu terus bersemangat menimba ilmu, menghormati guru dan ibu bapa serta berani mencuba perkara baharu.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan Anugerah Kanak-kanak Terbaik Tahfiz sebagai pengiktirafan terhadap kesungguhan kanak-kanak mempelajari dan menghayati ilmu agama sejak usia muda.
Pendedahan kepada ilmu agama pada peringkat awal bukan sahaja membentuk disiplin diri, malah menyemai nilai murni dalam diri kanak-kanak.

Beliau berkata, peranan pendidik bukan sekadar mengajar kanak-kanak mengenal huruf, nombor dan membaca, tetapi turut membentuk keperibadian serta keyakinan diri mereka.
Tambahnya, pendidikan awal memerlukan kerjasama erat antara pendidik dengan ibu bapa bagi memastikan perkembangan kanak-kanak dapat dipupuk secara menyeluruh.
Beliau berharap KEMAS terus memperkukuh penyediaan pendidikan awal yang berkualiti dan inklusif supaya manfaatnya dapat dinikmati masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Pada masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa supaya tidak hanya menumpukan perhatian kepada keputusan akademik, sebaliknya turut menghargai setiap usaha dan perkembangan anak-anak sepanjang proses pembelajaran.



