BINTULU: Pemimpin masyarakat dan ketua kaum di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak disaran menganjurkan program secara berkelompok bagi memastikan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dimanfaatkan secara optimum dan memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk.
Penyandang kerusi DUN Jepak, Iskandar Turkee berkata, pendekatan itu membolehkan aktiviti dirancang secara lebih tersusun, selain mengelakkan pertindihan program dan pembaziran sumber kewangan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peruntukan MRP DUN N.67 Jepak Fasa Kedua 2026 di Pusat Khidmat DUN Jepak, di sini, Jumaat.

Sebanyak RM380,000 disalurkan kepada 94 penerima bagi fasa kedua tahun ini, melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan, kelab serta jawatankuasa sekolah termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Menurut Iskandar, setiap penerima perlu menggunakan peruntukan berkenaan secara berhemah dengan mengutamakan program yang memenuhi keperluan komuniti masing-masing.
Beliau turut meminta penerima memaklumkan penyaluran bantuan itu kepada jawatankuasa wanita masing-masing bagi memastikan penyampaian maklumat dan penyelarasan aktiviti berjalan lancar.
Kerjasama antara pemimpin masyarakat, ketua kaum, persatuan dan jawatankuasa setempat penting bagi memastikan setiap program dilaksanakan secara sistematik tanpa pertindihan aktiviti.
Beliau berkata, perhatian terhadap keperluan masyarakat di kawasan DUN Jepak akan terus diberikan menerusi penyaluran bantuan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif bersesuaian.
Iskandar berharap semua penerima dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik bagi memastikan peruntukan MRP dimanfaatkan sepenuhnya demi pembangunan komuniti dan kesejahteraan penduduk.



