BINTULU: Seramai 30 belia pelbagai etnik dari seluruh Sarawak menyertai Projek SUARA (Strength Through Unity, Alliance And Responsive Action) 3.0 anjuran Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) di Hotel Promenade, di sini, baru-baru ini.
Program empat hari bermula 9 hingga 12 November itu bertemakan “Pelihara Warisan, Jana Kemakmuran” (Preserve to Prosper), mengetengahkan usaha memperkukuh kefahaman peserta mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), serta potensi warisan budaya dalam menjana ekonomi.
Peserta dari Kuching, Simunjan, Lawas dan Miri ini mewakili pelbagai latar belakang etnik termasuk Iban, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Melayu, Cina dan Kedayan. Mereka juga terdiri daripada penuntut sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) seperti UNIMAS, UiTM, UKM, Curtin University, i-CATS University College, MSU, UTS, UNITAR Kota Kinabalu dan Monash University.

Antara intipati utama program ialah taklimat MA63 oleh Penasihat Undang-Undang Negeri, Tuan Haji Khairul Anwar Haji Shazali, yang menekankan kepentingan memahami kedudukan asas perlembagaan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.
Selain itu, program turut menampilkan perbincangan panel Culture Venture bersama Pengasas Tanoti Crafts, Dato’ Jacqueline Fong, dan Ketua Bahagian Warisan dan Industri Kreatif kementerian berkaitan, Dr Elena Chai, yang mengupas strategi menjadikan warisan budaya sebagai sumber ekonomi menerusi industri kreatif.
Peserta turut didedahkan kepada inisiatif kerajaan negeri menerusi taklimat PCDS 2030 oleh Mildred Voon dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Premier Sarawak, yang menekankan tiga teras utama pembangunan merangkumi kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Komponen tumpuan lain ialah Culture Venture Lab kendalian Dr Nur Auni dari UNIMAS, yang membimbing peserta melalui tiga peringkat — penjanaan idea, penghasilan, dan pembentangan — untuk menterjemahkan aset budaya kepada projek praktikal serta mampan.
Program berimpak tinggi ini diakhiri dengan pembentangan kumpulan yang dinilai berpotensi tinggi, sekali gus membuktikan komitmen belia dalam memelihara identiti sejarah, warisan budaya dan kemajuan fizikal Sarawak untuk generasi masa depan.




