BINTULU: Penyertaan 15 atlet bawah 18 tahun dalam kontinjen Bintulu ke Sarawak Esport Expo (SAREX) 2026 membuktikan bahagian itu memiliki bakat muda yang berpotensi diketengahkan dalam arena sukan elektronik (e-sukan).
Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Steven Kong Kai Seng berkata, pemilihan 30 atlet mewakili Persatuan Sukan Elektronik Bahagian Bintulu (BDESA) ke kejohanan itu mencerminkan perkembangan positif e-sukan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Katanya, penyertaan separuh daripada keseluruhan atlet berusia 18 tahun ke bawah menunjukkan Bintulu mempunyai kelompok bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni kontinjen BDESA di Terminal Bas Bintulu Sentral, di sini.
Kontinjen Bintulu terdiri daripada 34 anggota, merangkumi 30 atlet serta empat pegawai pengiring dan pengurus pasukan yang akan bersaing dalam empat kategori pada kejohanan berlangsung dari 13 hingga 15 November ini di Sarawak Sport Village, Kuching.
Menurut Steven, perkembangan e-sukan di peringkat nasional dan antarabangsa membuka peluang lebih luas kepada golongan muda untuk mengetengahkan bakat serta meneroka kerjaya dalam industri berkenaan.
Katanya, tanggapan bahawa permainan video sekadar aktiviti mengisi masa lapang perlu diubah kerana e-sukan turut memerlukan kemahiran, strategi, disiplin, daya tumpuan dan kerjasama berpasukan.
Beliau berkata, kejayaan atlet e-sukan bukan bergantung pada bakat semata-mata, sebaliknya memerlukan latihan konsisten, penguasaan strategi dan kesungguhan memperbaiki kelemahan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan atlet supaya mengimbangi penglibatan dalam e-sukan dengan pendidikan dan kehidupan seharian, selain mengamalkan pengurusan masa yang baik serta menjaga kesihatan.
Menurutnya, e-sukan perlu dimanfaatkan sebagai platform positif untuk membina keyakinan diri, mengembangkan potensi dan memupuk semangat berpasukan.
Beliau turut menzahirkan kebanggaan terhadap semua atlet terpilih kerana mereka bukan sahaja membawa nama sendiri, malah turut menggalas harapan komuniti Bintulu.


