KUCHING: Seramai 60 wanita di Sarawak berpeluang membina laman web sendiri menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi program Digital Bloom: Women Who Build With AI di ICOM Square, Kuching, pada 28 November ini.
Program selama tiga jam, dari 2 hingga 5 petang itu dianjurkan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) dengan kerjasama Kimi AI (Moonshot AI).
Ketua Pegawai Eksekutif STATOS, Chew Chang Guan berkata, program itu merupakan usaha memperluas penggunaan teknologi AI secara praktikal dalam kalangan masyarakat Sarawak, khususnya wanita.
Menurutnya, STATOS yang berperanan menghubungkan Sarawak dengan Singapura serta pasaran antarabangsa sejak tujuh tahun lalu kini turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran teknologi AI.
“Menerusi Digital Bloom, kami membawa rakan teknologi AI global serta pengalaman penggunaan AI secara praktikal ke Sarawak, sekali gus memberikan kemahiran yang boleh dimanfaatkan secara langsung oleh wanita di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menariknya, peserta tidak memerlukan pengalaman atau kemahiran pengaturcaraan kerana pembangunan laman web akan dibantu sepenuhnya menggunakan teknologi AI menerusi pendekatan dikenali sebagai vibe coding.
Setiap peserta akan dibimbing fasilitator AI terlatih dan berpeluang menghasilkan laman web sendiri untuk diterbitkan secara percuma menerusi alamat kimi.site.
Peserta turut menerima langganan Kimi selama sebulan yang ditaja penganjur.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ANCHR AI Labs, Soh Wan Wei berkata, sambutan terhadap program itu menggalakkan apabila lebih 100 wanita memohon untuk menyertai pasukan petugas acara berkenaan.
Katanya, permohonan itu meliputi jawatan fasilitator AI, petugas operasi acara dan petugas media.
Soh yang juga Duta Global Rasmi Kimi AI akan menyampaikan ucapan pembukaan, manakala usahawan bersiri dari Singapura, Joewin Tan, akan mengendalikan sesi pembangunan laman web.
Joewin berpengalaman melatih usahawan wanita yang mengendalikan syarikat bernilai antara SGD800,000 hingga SGD50 juta menerusi UOB. Beliau turut menganggotai lembaga Jawatankuasa Keusahawanan Wanita ACE dan mengendalikan komuniti pengasas syarikat wanita, Inner Table.
Beliau juga pernah menerima beberapa pengiktirafan industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), selain dua kali menjadi penceramah di ITB Asia.
Program itu turut mendapat sokongan ANCHR AI Labs dan Women in Clode bersama beberapa rakan komuniti di Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, orang ramai turut berpeluang menyertai pertandingan dalam talian Sarawak Bina: What Feels Like Home yang dianjurkan bersama STATOS.
Menerusi pertandingan itu, rakyat Sarawak boleh menghasilkan potret menggunakan AI berdasarkan perkara yang menggambarkan Sarawak sebagai tempat istimewa di hati mereka, termasuk lokasi, makanan, individu atau kenangan.
Hasil karya boleh dimuat naik ke media sosial menggunakan tanda pagar #SarawakBina, #BloomWithStatos dan #WomeninClode.
Wanita di Sarawak yang berminat menyertai Digital Bloom boleh mengemukakan permohonan menerusi laman luma.com/hg6y7ftx sebelum 22 November ini.
Penyertaan adalah percuma dan terhad kepada 60 peserta terpilih. Program berkenaan akan dikendalikan dalam bahasa Inggeris.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman digitalbloom26.netlify.app.


