KUCHING: Sarawak kini mempunyai hubungan udara terus ke Jakarta menerusi penerbangan sulung AirBorneo Airways Sdn Bhd (AirBorneo) hari ini, sekali gus membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan pelancongan perubatan antara kedua-dua destinasi.
Penerbangan MY396 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching itu mendarat di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, petang ini dan disambut dengan upacara semburan air.
Laluan antarabangsa pertama AirBorneo ke Indonesia itu dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.=
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin berkata, pembukaan laluan berkenaan bukan sekadar memperluas rangkaian penerbangan syarikat, malah mengeratkan hubungan masyarakat, komuniti perniagaan dan sektor pelancongan kedua-dua destinasi.

Menurutnya, perkhidmatan itu dijangka memenuhi keperluan pelbagai kategori penumpang, termasuk pengembara perniagaan, keluarga dan pelancong.
AirBorneo turut mengetengahkan identiti Sarawak menerusi layanan kru dan sajian berinspirasikan cita rasa tempatan sepanjang penerbangan.
Laluan terus itu dijangka memudahkan urusan perdagangan dan pelaburan apabila pemimpin perniagaan, pelabur serta delegasi rasmi dari Sarawak dan Jakarta dapat melakukan perjalanan tanpa perlu transit di bandar ketiga.
Dalam sektor pelancongan, hubungan udara itu membuka peluang kepada pelancong Indonesia untuk menerokai khazanah warisan dunia UNESCO, hutan hujan tropika dan kepelbagaian festival kebudayaan di Sarawak.

Pada masa sama, penduduk Sarawak mempunyai akses terus ke Jakarta yang terkenal dengan gastronomi, fesyen, industri kreatif dan gaya hidup metropolitan.
Perkhidmatan itu turut berpotensi merancakkan pelancongan perubatan apabila pesakit dari Indonesia mempunyai pilihan perjalanan lebih mudah ke Sarawak bagi mendapatkan rawatan pakar, pemeriksaan diagnostik, pandangan perubatan kedua dan rawatan terancang.
Kemudahan perjalanan tanpa transit juga memberi keselesaan kepada warga emas serta pesakit yang sedang menjalani proses pemulihan.
Penerbangan Kuching-Jakarta beroperasi tiga kali seminggu, iaitu setiap Isnin, Jumaat dan Ahad menggunakan pesawat Boeing 737-800 yang menawarkan 12 tempat duduk Kelas Perniagaan dan 150 tempat duduk Kelas Ekonomi.

Tambang sehala termasuk semua caj bermula RM399 bagi Kelas Ekonomi dan RM888 bagi Kelas Perniagaan dari Kuching. Bagi penerbangan dari Jakarta, tambang bermula IDR1,750,000 dan IDR3,880,000 mengikut kelas.
Harga tiket merangkumi elaun bagasi daftar masuk, pemilihan tempat duduk dan hidangan sepanjang penerbangan.
Bagi memastikan ketelusan tambang dan melindungi pengguna daripada kenaikan harga tidak dibenarkan oleh pihak ketiga, AirBorneo menetapkan penjualan tiket melalui saluran rasmi, termasuk laman sesawang www.airborneo.com, aplikasi mudah alih, pejabat tiket dan ejen pelancongan yang dilantik.
Penumpang di Indonesia juga boleh membuat pembayaran menggunakan mata wang Rupiah menerusi saluran pembayaran digital tempatan.




