SHAH ALAM: Keadaan lokasi yang sempit serta kehadiran petugas pelbagai agensi menyukarkan tindakan seorang anggota polis dari Sarawak ketika berdepan serangan lelaki bersenjatakan parang sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya terputus.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, keputusan anggota terbabit untuk tidak melepaskan tembakan dibuat berdasarkan penilaian terhadap situasi sebenar di lokasi kejadian.
Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) menjadi panduan dalam pelaksanaan tugas, namun anggota di lokasi perlu membuat pertimbangan berdasarkan keadaan semasa.
“Dalam usaha mempertahankan diri, anggota terbabit mungkin terkena libasan parang pada pergelangan tangannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Beliau berkata, latihan dalam perkhidmatan termasuk kursus ulang kaji SOP dilaksanakan secara berkala bagi memastikan anggota bersedia menghadapi pelbagai situasi ketika bertugas.
Mengulas siasatan, Shazeli berkata, suspek lelaki warga asing itu dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental berdasarkan laporan seorang kenalannya sebelum kejadian.
Laporan berkenaan memaklumkan, suspek dipercayai mengamuk di kediamannya sehingga mendorong polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hadir untuk memeriksa keadaannya.
Bagaimanapun, keadaan mental sebenar suspek serta punca tindakannya bertindak agresif masih disiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
“Lebih 20 individu termasuk jiran, penghuni premis dan kenalan suspek telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan turut dijalankan di kediaman suspek yang turut dihuni penyewa warga tempatan. Beberapa individu lagi akan dipanggil untuk memberikan keterangan,” katanya.
Beliau berkata, bedah siasat terhadap mayat suspek dijadualkan dijalankan hari ini.
Sementara itu, Shazeli mengesahkan anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun itu berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan menyambung semula pergelangan tangan kanannya, semalam.
Katanya, anggota berkenaan kini menjalani proses pemulihan.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam Rabu lalu, seorang lelaki warga asing menyerang anggota polis menggunakan dua bilah parang sebaik pintu kediamannya dibuka.
Serangan itu menyebabkan pergelangan tangan kanan anggota berkenaan terputus sebelum suspek maut ditembak polis.



