KUCHING: Seorang ibu kepada dua orang anak dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini apabila enggan melaporkan kejadian anak perempuannya berusia 16 tahun didera secara seksual oleh datuk saudara kepada polis.
Ibu berusia 52 tahun bekerja sebagai pegawai kawalan kualiti di sebuah syarikat pembekal makanan itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001 dihadapan Hakim Noorhisyam Mohd Jaafar.
Sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dia melakukan kesalahan itu dalam sebuah rumah di kampung di Jalan Batu Kitang, pada 11 Oktober lalu.
Menurut fakta kes, pada 21 Oktober lepas, pengadu merupakan pegawai perubatan bersama pasukannya melakukan lawatan ke sebuah sekolah menengah susulan saringan kesihatan mental pelajar.
Semasa lawatan, guru kaunseling merujuk kepada seorang pelajar untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan, mangsa menceritakan kejadiannya pada 11 Oktober lepas, datuk saudaranya telah datang ke rumah untuk mengambil baja dan meminta bantuannya.
Pada ketika itu, mangsa hanya bersendirian di rumah diberikan wang RM50 oleh datuk saudaranya, namun dia ditarik diraba di payu dara, kemaluan dan mencium mulut mangsa.

Mangsa cuba menolak tetapi tidak berjaya. Datuk saudaranya melarang mangsa menceritakan kejadian tersebut.
Pada keesokkan harinya, mangsa yang datang ke sekolah seperti biasa menceritakan kejadian tersebut kepada kawan baiknya sambil menangis.
Rakan mangsa terus memberitahu guru kaunseling mengenai kejadian yang menimpa mangsa.
Guru kaunseling terus memangil ibu bapa untuk hadir ke sekolah.
Semasa perjumpaan tersebut, tertuduh meminta dia melaporkan kepada pihak polis tetapi dia berkata hendak berbincang dengan suaminya kerana hal tersebut adalah hal keluarga.
Setelah berbincang dengan suami, kedua-duanya bersetuju untuk tidak membuat laporan polis kerana mereka berfikir ia melibatkan keluarga dan tidak mahu di persalahkan oleh ahli keluarga yang lain.
Oleh itu, satu laporan polis dilakukan terhadap tertuduh dan suami serta datuk saudara mangsa yang akhirnya membawa kepada penangkapan mereka pada 21 Oktober lalu.
Di mahkamah yang sama, datuk saudara mangsa berusia 77 tahun mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Soaca) 2017, kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu saudaranya berusia 16 tahun.
Tiada jaminan ditawarkan dan tertuduh dilanjutkan reman sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes pada 11 Disember depan.
Di Mahkamah Sesyen berasingan, bapa mangsa turut di didakwa di bawah Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001, sama seperti ibu mangsa.
Namun,tertuduh berusia 56 tahun itu tidak mengaku bersalah sebaik saja satu pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan dia direman hingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes pada 14 Disember depan.
Mangsa juga diperintahkan dijaga di bawah pelindungan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Kuching selain di hantar ke hospital untuk menerima rawatan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.




