KUCHING: Seorang lelaki tempatan didenda RM3,500 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah merosakkan motosikal rakannya dengan menendangnya di Jalan Belatok, 9 November lalu.
Mohd. Noor Izwan Samsudin, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan khianat dengan merosakkan sarung tempat duduk motosikal milik seorang lelaki berusia 32 tahun sehingga menyebabkan kerugian RM450.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Belatok, Taman Malihah, kira-kira jam 1 petang, 9 November lalu.
Berdasarkan fakta kes, pengadu sedang menunggang motosikal melalui jalan berkenaan apabila tertuduh yang menunggang motosikal lain datang dari arah sama sebelum menendang motosikalnya.
Akibat kejadian itu, pengadu terjatuh dan sarung tempat duduk motosikalnya rosak. Bagaimanapun, dia tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut sebelum tertuduh ditahan pada 11 November lalu.
Siasatan mendapati tertuduh bertindak demikian kerana menyangka pengadu mahu memukulnya menggunakan beg selepas memotong motosikalnya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aqila Morsalin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


