KUCHING: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum memutuskan sebarang hukuman berhubung insiden kekecohan membabitkan Kuching City FC dan Selangor FC sehingga semua laporan serta bukti berkaitan diteliti.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya telah menerima laporan rasmi daripada kedua-dua kelab berhubung insiden pada aksi separuh akhir kedua Piala FA 2026/2027 di Stadium Taha Ariffin, Ahad lalu.
“Laporan berkenaan akan diteliti bersama laporan rasmi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta segala dokumen dan bukti berkaitan bagi memastikan perkara ini ditangani mengikut peraturan dan prosedur tatatertib yang berkuat kuasa.
“Sebarang keputusan atau hukuman hanya dapat ditentukan selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM bermesyuarat dan meneliti laporan serta bukti yang dikemukakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Noor Azman, FAM memandang serius sebarang insiden yang boleh menjejaskan keselamatan pemain dan pegawai pasukan serta mencemarkan imej bola sepak negara.
FAM akan memastikan semua laporan dan maklumat berkaitan diberikan perhatian sewajarnya mengikut prosedur yang ditetapkan.
Terdahulu, MFL menyerahkan laporan dan bukti kejadian kepada FAM pada Selasa lalu selepas mengumpul maklumat daripada pegawai yang bertugas sepanjang perlawanan berkenaan.
Dokumen itu merangkumi laporan komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil dan Ketua Pegawai Medan bagi membantu penelitian Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Insiden kekecohan tercetus pada penghujung masa tambahan selepas Kuching City memperoleh jaringan kedua menerusi gol sendiri pemain Selangor, Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-118.
Ketegangan berlaku berhampiran bangku simpanan Selangor ketika pemain Kuching City meraikan jaringan itu sehingga mencetuskan pertelingkahan antara pemain dan pegawai kedua-dua pasukan.
Susulan kejadian itu, Ketua Jurulatih Selangor, Kim Pan Gon mendakwa pemain Kuching City, Nazmi Faiz Mansor bertindak agresif ketika menghampiri kawasan bangku simpanan pasukannya. Beliau turut mendesak supaya siasatan dijalankan.
Kekecohan itu turut menyaksikan pemain Selangor, Eduardo Sosa dan jurulatih kecergasan, Joel Dones dilayangkan kad merah.
Dalam perlawanan itu, Kuching City menewaskan Selangor 2-0 menerusi sepakan penalti Safawi Rasid dan jaringan sendiri Mukhairi Ajmal, sekali gus mara ke final Piala FA buat kali pertama dengan kemenangan agregat 3-2.
/tamat/




