ISTANBUL: Microsoft melaporkan kemajuan dalam usaha memulihkan perkhidmatan yang terganggu di seluruh dunia lebih 12 jam, termasuk Outlook, Microsoft 365 dan Teams.
Syarikat itu memaklumkan pihaknya mencatat sedikit kejayaan selepas melaksanakan pembaikan perisian dan memulakan semula infrastruktur.
Dalam kemas kini di halaman Status Kesihatan Perkhidmatan pada awal Jumaat, Microsoft memantau aktiviti di pelbagai rantau serta menilai prestasi pelayan dan langkah meningkatkan kapasiti sistem.
Menurut syarikat itu, kestabilan mula kelihatan, tetapi kapasiti belum pulih ke paras normal dan keadaan sistem masih berubah-ubah ketika trafik diperkenalkan semula secara berhati-hati seperti dilapor Bernama.
Microsoft tidak mengetahui sebarang aktiviti berniat jahat berkaitan insiden itu dan berjanji menerbitkan laporan terperinci tentang punca utama serta langkah memperkukuh daya tahan infrastruktur selepas masalah selesai.



