MATU: Pantai Kuala Matu Hilir kini tampil dengan tarikan tersendiri apabila hidangan lokan dan tiram bakar menjadi antara menu yang semakin mendapat perhatian pengunjung, terutama pada hujung minggu.
Hidangan makanan laut segar yang dipanggang menggunakan kayu api itu bukan sahaja menawarkan kelainan, malah aromanya turut menjadi daya tarikan kepada orang ramai yang berkunjung ke pantai yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Daro itu.
Selain lokan dan tiram bakar, beberapa peniaga turut menyediakan ikan panggang serta pelbagai juadah lain, menjadikan kawasan pantai berkenaan lebih meriah sebagai lokasi santai bersama rakan dan keluarga.
Antara peniaga yang menawarkan hidangan berkenaan ialah Nurizan Mahdi, 40, yang menyediakan lokan dan tiram bakar bersama sambal pencicah resipi istimewanya.
Menurutnya, sambal kicap yang dihasilkan sendiri menjadi antara pelengkap utama hidangan dan sering menjadi sebab pelanggan kembali menikmati lokan bakar di gerainya.
Pada peringkat awal, gerai berkenaan kurang mendapat sambutan kerana belum ramai yang mengetahui kewujudannya.
Bagaimanapun, jumlah pengunjung semakin meningkat apabila semakin ramai datang untuk mencuba hidangan yang ditawarkan.
“Tambahan pula, jalan raya serta siapnya Jambatan Batang Paloh dan Batang Lassa turut memudahkan pengunjung datang ke pantai ini.
“Saya tidak menafikan kesegaran lokan yang dipanggang, ditambah dengan rasa manis isinya serta sambal istimewa yang disediakan, menjadi antara tarikan utama. Alhamdulillah, sambutan yang diterima kini amat menggalakkan dan ada kalanya kami tidak menang tangan melayan pelanggan,” katanya kepada Suara Sarawak.
Nurizan berkata, keistimewaan hidangan itu bukan sahaja bergantung kepada kesegaran bahan mentah, malah kaedah memanggang secara tradisional menggunakan kayu api turut memberikan aroma dan cita rasa tersendiri.
Katanya, bekalan lokan dan tiram mudah diperoleh di kawasan berlumpur berhampiran hutan paya bakau sekitar Kampung Hilir Kuala Matu, malah beliau turut turun sendiri mencari hasil berkenaan apabila diperlukan.
“Saya mahu menyediakan pilihan makanan yang segar dan berbeza kepada pengunjung pada harga berpatutan.
“Pada masa sama, kami dapat menjana pendapatan tambahan sambil membantu menjadikan Pantai Kuala Matu Hilir sebagai lokasi santai hujung minggu yang mempunyai tarikan tersendiri,” katanya.




