KUCHING: Lima keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Tabuan Hilir, Jalan Setia Raja menerima bantuan keseluruhan RM5,000 daripada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menerusi Program Prihatin MBKS.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, setiap keluarga menerima sumbangan RM1,000 bagi membantu menampung perbelanjaan segera selepas kehilangan tempat tinggal.
Menurutnya, MBKS sentiasa berusaha menghulurkan bantuan kepada keluarga yang ditimpa musibah kebakaran dalam kawasan pentadbirannya.
Wee berkata, kebakaran itu melibatkan lima rumah dan 30 penduduk, termasuk tiga kanak-kanak.
Beliau bersama ahli majlis MBKS turut melawat lokasi kejadian bagi meninjau keadaan mangsa serta mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan.


Katanya, keluarga terjejas berdepan pelbagai kesukaran, termasuk mencari tempat tinggal sementara serta mendapatkan pakaian dan keperluan harian.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan mangsa menghubungi ahli majlis atau pegawai MBKS sekiranya memerlukan bantuan tambahan.
“Keperluan anda mungkin akan menjadi lebih jelas dalam beberapa hari akan datang selepas mempunyai masa untuk meneliti apa yang telah hilang dan perlu diganti.
“Kami akan meneliti bentuk bantuan yang boleh diberikan oleh pihak Majlis serta membantu menghubungkan anda dengan agensi berkaitan sekiranya memerlukan bantuan lanjut,” katanya.




