KUCHING: Tambang tetap AirBorneo Airways Sdn Bhd (AirBorneo) pada kadar sedikit melebihi RM300 menyediakan pilihan lebih mampu milik kepada rakyat Sarawak yang berada di luar negeri untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkhidmatan itu menyediakan alternatif kepada rakyat Sarawak kembali ke kawasan masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran dan pelepasan penerbangan sulung AirBorneo bagi laluan Kuching-Jakarta (MY396/MY397) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan supaya AirBorneo menawarkan diskaun tambahan bagi menggalakkan rakyat Sarawak yang menetap di luar negeri pulang mengundi pada PRN akan datang.
Mengulas kemungkinan pemberian diskaun khas, Abang Johari berkata, cadangan itu perlu diteliti bagi mengelakkan sebarang tanggapan bahawa insentif berkenaan mempunyai unsur sogokan atau rasuah.
“Jika kita menawarkan diskaun khas, orang mungkin mentafsirkannya sebagai satu bentuk insentif. Kita perlu meneliti definisinya terlebih dahulu,” katanya.
Beliau turut menjelaskan cadangan menaja tambang penerbangan rakyat untuk pulang mengundi perlu dipertimbangkan secara teliti kerana berpotensi menimbulkan pelbagai tafsiran.
“Jika kita menaja penerbangan mereka, mungkin ada pihak yang menganggapnya sebagai sogokan. Kita perlu berhati-hati dalam perkara ini.
“Ada pihak yang akan memutarbelitkan sesuatu perkara. Banyak perkara diputarbelitkan kali ini,” katanya.
/tamat/


