BAU: Galeri sejarah dan pusat maklumat pelancongan bernilai RM300,000 di Siniawan dijangka dibuka pada minggu kedua Januari 2027 bagi memperkenalkan warisan tempatan serta mempromosikan destinasi pelancongan di Serembu dan Bau.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Datuk Miro Simuh berkata, kemudahan itu akan menghimpunkan maklumat sejarah Siniawan, keunikan budaya masyarakat setempat serta pelbagai produk pelancongan untuk diterokai pengunjung.
Menurutnya, galeri itu akan mengetengahkan sejarah dan identiti tiga kaum utama di Siniawan, iaitu Cina, Melayu dan Bidayuh, termasuk menerusi pameran pakaian tradisional masing-masing.

“Galeri ini akan berfungsi sebagai pusat maklumat pelancongan, selain memperkenalkan sejarah Siniawan kepada pengunjung.
“Kita akan mempamerkan pakaian tradisional tiga kaum utama di Siniawan, manakala ruang dinding digunakan untuk memperkenalkan produk pelancongan di Serembu dan Bau,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.
Antara destinasi yang akan dipromosikan ialah Gua Pari-Pari, Gua Angin, Pekan Sempadan Serikin, Tasik Biru, Paku Rock Maze Garden dan Kolam Air Panas Paku.
Miro berkata, pusat maklumat itu penting kerana Bau belum mempunyai kemudahan khusus yang menghimpunkan maklumat pelbagai produk pelancongan daerah berkenaan di satu lokasi.
Beliau berkata, pembinaan galeri itu mengambil masa kira-kira dua bulan, manakala kerja penyediaan reka bentuk dalaman dan bahan pameran sedang dilaksanakan sebelum dibuka kepada orang ramai.
Katanya, kerjasama turut dijalinkan dengan Lembaga Pelancongan Sarawak, Majlis Daerah Bau dan agensi berkaitan bagi mendapatkan koleksi gambar serta bahan promosi.
“Selain itu, kita juga bekerjasama dengan Perbadanan Perhutanan Sarawak bagi mendapatkan gambar menarik Gua Angin dan Gua Pari-Pari untuk dipamerkan di galeri berkenaan,” katanya.
Beliau berharap kemudahan itu dapat membantu pengunjung merancang perjalanan dengan lebih mudah, sekali gus meningkatkan kunjungan ke destinasi pelancongan lain di Serembu dan Bau.
Dalam perkembangan berkaitan, Miro berkata, Menara Tinjau Baruk di Siniawan turut berpotensi menjadi tarikan baharu kerana menawarkan pemandangan kawasan sekitar, khususnya ketika matahari terbenam.
Bagaimanapun, katanya, menara itu belum dibuka kepada orang ramai kerana beberapa aspek keselamatan perlu dilengkapkan, termasuk pemasangan jeriji keselamatan.
“Apabila semua persediaan selesai, kita bercadang membukanya setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad,” katanya.
Beliau berkata, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut akan ditempatkan bagi mengawal kemasukan pengunjung dan mengehadkan jumlah individu yang berada di menara pada satu-satu masa demi keselamatan.
/tamat/


