ARTIKEL

Beting Maro jadi tumpuan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KAWASAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro mempunyai keunikan tersendiri dalam landskap politik Sarawak.

Keunikan itu bukan sahaja kerana sejarah panjang penguasaan parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tetapi juga kerana kawasan berkenaan menjadi antara medan perjuangan utama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk menembusi kubu politik di Sarawak.

Boleh dikatakan Beting Maro merupakan kerusi idaman PAS untuk dijadikan anak sulung parti itu di Bumi Kenyalang.

Namun, sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-12 pada 2021, hasrat PAS untuk memenangi kerusi berkenaan masih belum kesampaian.

Sejak mula mencuba nasib pada 2001, PAS tidak pernah gagal memberikan saingan kepada PBB, malah pernah mencatatkan keputusan cukup membimbangkan parti pemerintah ketika itu.

Perjalanan PAS di Beting Maro bermula pada PRU Sarawak kelapan pada 2001 apabila parti itu mempertaruhkan Abang Was yang memperoleh 1,399 undi.

Bagaimanapun, calon Barisan Nasional (BN) daripada PBB, Datuk Bolhassan Di menang dengan majoriti selesa 3,034 undi.

Lima tahun kemudian, pada PRU Sarawak kesembilan pada 2006, PAS meningkatkan cabaran menerusi Alem Din yang memperoleh 1,901 undi.

Walaupun Bolhassan sekali lagi mempertahankan kerusi berkenaan, majoritinya menyusut dengan ketara kepada 895 undi.

Penurunan majoriti lebih 2,000 undi itu memberikan gambaran, PAS mula membina pengaruh dalam kalangan pengundi Beting Maro.

Pilihan raya pada 2006 juga merupakan penampilan terakhir Bolhassan sebagai wakil rakyat kawasan itu selepas pernah memegang jawatan Menteri Muda Sarawak.

Razaili muncul sebagai taruhan baharu PBB. Menjelang PRU Sarawak ke-10 pada 2011, BN/ PBB membuat perubahan dengan mengetengahkan bekas Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Razaili Gapor, yang kini bergelar Datuk.

Pertaruhan itu bukan tanpa cabaran. Razaili berdepan persaingan sengit daripada calon PAS, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, sehingga keputusan pilihan raya menyaksikan majoriti kemenangan PBB merosot kepada hanya 391 undi.

Razaili memperoleh 3,069 undi berbanding 2,678 undi yang diraih calon PAS. Keputusan itu merupakan antara pencapaian terbaik PAS di Beting Maro dari segi kedudukan undi dan jurang kemenangan.

Kerusi panas

Dengan majoriti hanya 6.8 peratus daripada jumlah undi sah, Beting Maro ketika itu boleh dianggap sebagai kerusi panas yang berpotensi menyaksikan perubahan penguasaan.

Namun, PBB tidak mengambil mudah cabaran tersebut.

Pada PRU Sarawak ke11 pada 2016, Razaili sekali lagi diberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Beliau berdepan calon PAS, Hamidah Mokhtar. Razaili berjaya meningkatkan majoriti kepada 1,707 undi apabila memperoleh 4,758 undi berbanding 3,051 undi yang diraih Hamidah.

Peningkatan majoriti itu memperlihatkan keupayaan PBB mempertahankan pengaruhnya selepas berdepan tekanan hebat pada pilihan raya sebelumnya.

Malah, prestasi PAS yang berjaya memperoleh lebih 3,000 undi pada 2016 menunjukkan parti itu mempunyai kelompok penyokong yang tidak boleh dipandang ringan.

Pada PRU Sarawak ke-12 pada 2021, PAS mempertaruhkan Mohammad Arifiriazul Paijo untuk mencabar Razaili.

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan calon PBB/ Gabungan Parti Sarawak (GPS), PAS, PKR, Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan seorang calon Bebas.

Razaili turut dicabar Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menghantar Abang Zulkifl Abang Engkeh dan dua lagi calon ialah Jackie Chiew mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK), calon Bebas ialah Saifudin Matsah.

Razaili memperoleh 3,769 undi, manakala Arifiriazul meraih 2,058 undi. Dengan keputusan itu, Razaili mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 1,711 undi.

Walaupun PAS masih gagal memenangi Beting Maro, keputusan tersebut memperlihatkan parti itu kekal sebagai pencabar utama PBB di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, satu perkara menarik yang wajar diperhatikan ialah jumlah undi PAS sebenarnya menurun berbanding 2016, daripada 3,051 kepada 2,058 undi.

Ini menunjukkan penguasaan PAS tidak semestinya berkembang secara konsisten, walaupun parti itu berjaya mengekalkan kedudukan sebagai pencabar utama.

Secara keseluruhannya, sejarah pilihan raya di Beting Maro memperlihatkan satu pola yang jelas.

PBB mempunyai kelebihan dari segi pengalaman, jaringan politik dan rekod kemenangan, manakala PAS terus berusaha membina pengaruh sebagai alternatif.

Menjelang PRU Sarawak ke-13, Beting Maro sekali lagi menjadi tumpuan.

Kali ini, PAS bukan sekadar menyatakan hasrat untuk bertanding, sebaliknya meletakkan Beting Maro sebagai antara kerusi sasaran utamanya.

Arifiriazul sebagai Pesuruhjaya PAS Sarawak sebelum ini mengumumkan parti itu menyasarkan untuk bertanding di tiga kerusi, iaitu Beting Maro, Samariang dan Sebuyau, dengan satu lagi kerusi di utara Sarawak masih dalam pertimbangan.

Lebih menarik, PAS dilaporkan mempunyai lebih 8,000 ahli di seluruh Sarawak, termasuk 1,423 ahli berdaftar di Beting Maro menerusi lapan cawangan aktif.

Angka itu menunjukkan PAS mempunyai struktur organisasi yang semakin tersusun berbanding ketika mula-mula bertanding pada 2001.

Namun, jumlah keahlian parti tidak semestinya diterjemahkan secara langsung kepada undi kemenangan.

Rekod kemenangan

Sementara itu, dalam konteks lebih besar, kekuatan GPS menjelang PRU Sarawak ke13 tidak boleh dinilai hanya berdasarkan rekod kemenangan PBB di Beting Maro.

GPS mempunyai kelebihan sebagai gabungan parti tempatan yang sudah membina pengalaman mentadbir Sarawak sejak penubuhannya pada 2018.

Gabungan yang terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mempunyai jentera politik yang merangkumi pelbagai kawasan, komuniti dan latar belakang pengundi.

Pada PRU Sarawak ke-12 pada 2021, GPS mencatatkan kemenangan besar apabila menguasai 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Keputusan itu memberikan gambaran jelas tentang kekuatan gabungan berkenaan, khususnya apabila berhadapan parti-parti dari luar Sarawak.

Antara kelebihan GPS ialah kedudukannya sebagai gabungan yang menerajui Kerajaan Negeri, sekali gus mempunyai rekod pentadbiran yang boleh dinilai oleh rakyat.

Di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, agenda pembangunan negeri, ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur dan peningkatan taraf hidup rakyat terus menjadi antara perkara yang diketengahkan.

Pendekatan pembangunan yang menekankan kepentingan autonomi Sarawak, hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta usaha meningkatkan hasil dan pendapatan negeri turut menjadi sebahagian daripada kekuatan naratif politik GPS.

Pembangunan

Bagi kawasan luar bandar seperti Beting Maro, isu pembangunan asas juga mempunyai kepentingan tersendiri.

Kemudahan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, liputan telekomunikasi, pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi merupakan perkara yang dekat dengan kehidupan penduduk.

Justeru, kemampuan GPS menunjukkan hasil pembangunan yang benar-benar dirasai rakyat boleh menjadi faktor penting dalam menentukan sokongan pengundi.

Namun, kekuatan sebagai kerajaan tidak bermakna GPS boleh mengambil mudah persaingan.

Pengundi hari ini semakin menilai calon berdasarkan keupayaan menyelesaikan masalah setempat, keberkesanan perkhidmatan, kehadiran di lapangan dan kesungguhan membawa suara rakyat.

Satu lagi persoalan yang menarik perhatian menjelang PRU Sarawak ke-13 ialah sama ada PBB akan terus mempertaruhkan Razaili atau memberi ruang kepada muka baharu.

Selepas tiga penggal mewakili kawasan itu sejak 2011, pucuk pimpinan dan rakyat boleh menilai sendiri wakil rakyat mereka.

Namun, politik sentiasa memerlukan pembaharuan. Jika PBB memutuskan untuk mengetengahkan calon baharu, khususnya daripada generasi lebih muda, keputusan itu boleh membawa dimensi persaingan yang berbeza.

Calon muda yang mempunyai latar belakang kepimpinan, kemampuan berkomunikasi dan memahami aspirasi generasi baharu berpotensi memberikan nafas segar kepada jentera parti.

Bagaimanapun, usia muda semata-mata tidak menjamin kemenangan.

Calon berkenaan perlu mempunyai penerimaan masyarakat, memahami isu tempatan serta mampu membina hubungan dengan semua lapisan penduduk.

Dalam hal ini, keputusan pemilihan calon merupakan antara ujian penting kepada kepimpinan PBB dan GPS.

Abang Johari selaku Pengerusi GPS diberikan mandat penuh oleh parti komponen untuk menentukan calon gabungan itu bagi PRU Sarawak ke-13.

Bukan soal populariti

Ini menunjukkan keputusan berhubung calon bukan sekadar soal populariti individu, sebaliknya perlu mengambil kira kepentingan gabungan, kekuatan jentera dan peluang kemenangan di setiap kawasan.

Untuk rekod, PBB telah mengekalkan penguasaan di kawasan Beting Maro sejak penubuhan kerusi berkenaan pada 1996, dengan sejarah kemenangan parti itu turut bersambung daripada kawasan terdahulu.

Justeru, PAS mempunyai tugas besar sekiranya benar-benar mahu memecahkan dominasi tersebut.

Dengan pengalaman bertanding selama lebih dua dekad, PAS tidak lagi boleh dianggap sebagai parti yang sekadar datang mencuba nasib.

Bagi GPS pula, cabaran utamanya ialah memastikan rekod kemenangan tidak menjadikan jentera parti terlalu selesa.

Kemenangan besar pada PRU Sarawak ke-12 merupakan modal politik yang penting, tetapi setiap pilihan raya mempunyai dinamik tersendiri.

Akhirnya, pertarungan Beting Maro bukan sekadar mengenai siapa yang akan menjadi calon PBB atau PAS.

Ia juga menjadi ukuran sejauh mana pengundi masih memberikan kepercayaan kepada kepimpinan sedia ada, serta sejauh mana parti-parti bertanding mampu menawarkan masa depan yang lebih baik kepada masyarakat setempat.

Dengan hari pengundian PRU Sarawak ke-13 ditetapkan pada 12 Disember dan penamaan calon pada 28 November, tempoh menuju hari penentuan semakin singkat.

Beting Maro sekali lagi bakal menjadi medan yang menarik untuk diperhatikan.

Adakah PAS akhirnya mampu merealisasikan impian menjadikan Beting Maro sebagai kerusi pertama yang dimenanginya di Sarawak?

Atau PBB akan sekali lagi mempertahankan kubu tradisinya, sekali gus menyumbang kepada kesinambungan dominasi GPS?

BERITA LAIN

Hotel antarabangsa perkukuh industri hospitaliti Sarawak

KUCHING: Penambahan hotel bertaraf antarabangsa dijangka meningkatkan keupayaan Kuching menampung pertambahan pelancong serta menganjurkan lebih banyak acara antarabangsa. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang

AirBorneo sasar laluan ke Bangkok, Korea Selatan

KUCHING: AirBorneo Airways Sdn Bhd (AirBorneo) merancang memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa ke Bangkok, Thailand serta Seoul dan Pulau Jeju di Korea Selatan, dengan sasaran pelaksanaan

BERITA TERBARU